
Oleh SUZIANA GHANI
LAHAD DATU: PAS Sabah menghantar petugas yang memiliki pelbagai kemahiran bagi membantu kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Menurut Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, jentera daripada Sabah terdiri daripada petugas khas serta umum yang akan membantu di lapangan dengan berkempen dari rumah ke rumah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga melalui media sosial.
“Kami juga menghantar petugas media dan IT bagi membantu kerja-kerja culaan dan memperkenalkan calon kepada pengundi.
“Kami akan berada di Melaka sehingga hari pengundian dan menyediakan petugas yang mahir dalam bidang yang disebutkan tadi,” ujar beliau yang juga AJK PAS Pusat.
Menurutnya lagi, pimpinan PAS Sabah akan turun bersama calon menyantuni masyarakat di kawasan-kawasan yang sudah dibahagikan secara khusus.
Dr Aliakbar yang juga ADUN Lantikan Sabah berpesan kepada para pengundi Melaka supaya turun mengundi beramai-ramai untuk menunaikan hak dalam sebuah negara demokrasi dan memilih dengan cara matang.
“Jangan memilih pemimpin-pemimpin ekstrem yang sudah terbukti anti agama dengan membawa ideologi-ideologi luar untuk dibawa masuk ke Malaysia khususnya ke Melaka,” katanya lagi.
Beliau juga meminta semua pengundi supaya mematuhi SOP yang sudah ditetapkan oleh SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara supaya tidak berlaku lonjakan kes Covid-19 disebabkan PRN.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Hendri Hamsah pula berkata, pemuda negeri mula bertolak membantu PRN Melaka sejak 14 November lalu dan akan pulang pada 21 November.
“Kami akan membantu melalui ziarah dengan mengedar pamplet di peti pos serta berkempen melalui poster dan media secara berpusat di Sabah dan di markas Durian Tunggal.
“Dewan Pemuda PAS Sabah berharap pengundi Melaka turun mengundi dan pilihlah Perikatan Nasional memegang kepimpinan akan datang bagi mengelak masalah yang berlaku seperti sebelum ini dan berharap rakyat Melaka bijak memilih wakil rakyat yang akan membantu anda,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu bersama 10 petugas giat membantu berkempen agar warga Melaka khususnya di Durian Tunggal untuk keluar mengundi.
“Buat semua pengundi, kembalikan kegemilangn Melaka dengan memilih calon Perikatan Nasional menawarkan kerajaan stabil hasil perpaduan ummah serta pembelaan terhadap agama dan bangsa,” katanya.
Beliau juga menyeru seluruh pengundi wanita agar memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional yang bertanding di 28 DUN dalam PRN kali ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2021











