Mufti patut nasihat Pulau Pinang contohi langkah Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia menerima teguran Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor kerana baginya perkara itu hanya sekadar gurauan.

Malah, beliau telah memohon maaf kepada mufti terbabit yang kebetulan pensyarahnya ketika belajar di Universiti Sains Malaysia sebelum ini.

“Saya terima tegurannya. Dia guru saya sewaktu menuntut di USM. Lagipun saya tidak bermaksud kata Pulau Pinang tu Darul Judi.

- Advertisement -

“Cuma sebab negeri itu tidak mengharamkan premis judi, sesiapa yang berhajat bolehlah ke sana sebab di Kedah kita sudah tamatkan semua operasi dan premis-premis perjudian.

“Malah bukan Pulau Pinang sahaja tetapi termasuk juga negeri-negeri yang masih membuka premis perjudian,” katanya pada sidang media pada hari terakhir persidangan Dun Kedah hari ini.

Isnin lepas Mufti Pulau Pinang dilapor menegur Sanusi supaya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sebelum itu Sanusi dengan nada berseloroh berkata, “Kerajaan tidak akan beri lesen, kalau nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

Katanya juga melatah ketika bercakap adalah perkara biasa, namun beliau bersedia menerima teguran.

“Tetapi saya rasa sebagai mufti dia patut menasihatkan Pulau Pinang agar mengambil langkah yang sama seperti Kedah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -