Risiko runtuhan tanah: SK Bukit Meriam diarah berpindah

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Meriam, Kota Kuala Muda di sini diarahkan berpindah ekoran kawasan terbabit berisiko tinggi kembali berlaku kejadian gelongsoran tanah dan jatuhan batu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dato’ Najmi Ahmad (PAS- Kupang) berkata, sekolah terbabit diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah.

- Advertisement -

“Pada 20 Oktober 2020 lalu berlaku runtuhan tanah dan batu besar di kawasan sekolah berkenaan. Oleh itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan kejuruteraan cerun telah mencadangkan supaya sekolah itu berpindah ke kawasan lebih selamat,” jelas beliau ketika menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Dato’Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Alor Mengkudu) ketika ucapan penggulungan pada sidang Bajet Kedah 2022, di sini, hari ini. 

Menurutnya susulan daripada itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan berkenaan mendapati terdapat batuan yang tergantung pada pembukaan cerun dianggarkan kira-kira 70 darjah dan dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu mendakwa, warga SK Bukit Meriam, ibu bapa dan waris mereka kebanyakannya membantah untuk berpindah dan mengadu kepadanya berkenaan isu terbabit.

“Hasil laporan dan pantauan pihak JKR itu mendapati kawasan berkenaan tidak sesuai untuk sebarang struktur binaan apatah lagi di kawasan kaki cerun tanpa melakukan sebarang pengukuhan terhadap cerun itu sendiri. 

“Kos untuk melakukan pengukuhan cerun juga tinggi iaitu dianggarkan RM9.4 juta. Itu belum termasuk kos pengambilan tanah. Sementara, kos perataan bukit dan bayaran pampasan pula dianggarkan RM30 hingga RM40 juta,” jelas beliau. 

Tambah Najmi, kos pembinaan sekolah di tapak baharu pula hanya antara RM25 hingga 30 juta yang melibatkan pembinaan dua blok bangunan dua tingkat dan kos pengambilan tanah seluas antara empat hingga enam ekar.

“Kos tersebut adalah  termasuk kemudahan infrastruktor baharu di 12 buah kelas dan padang. Pada saya berpindah itu adalah satu opsyen terbaik,” ujarnya yang sebelum ini telah mengadakan perjumpaan dengan pihak sekolah terbabit dan para waris bagi berbincang mengenai hal tersebut. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -