Parti berjaya bawa penyokong keluar mengundi akan menang

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

DARIPADA
pemerhatian situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 ini, penulis mendapati bahawa pada kali ini sebenarnya semua parti politik yang bertanding mempunyai potensi yang sama untuk menang.

Tidak ada parti yang dilihat mempunyai kelebihan yang ketara untuk menjadi pemenang utama secara umum. Tidak seperti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada kali ini tidak ada parti yang memiliki status quo seperti mana yang dinikmati oleh BN satu masa dahulu.

Status quo di sini bermaksud kecenderungan pengundi untuk mengekalkan sesuatu yang sedia ada kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku jika berlakunya perubahan, atau pun kerana berasa bahawa tidak ada sebab untuk menukar parti pemerintah sedia ada.

Dan BN yang pernah kalah pada PRU14 pula menjadikan rakyat tidak lagi berasa takut jika tidak mengundi BN seperti dulu-dulu. Rakyat sudah melihat tidak ada huru-hara yang berlaku jika kerajaan bertukar seperti yang dimomok-momokkan sebelum ini.

- Advertisement -

Kita boleh melihat betapa selepas PRU14 kelebihan sebagai parti pemerintah tidak lagi menjadi status quo. Ini terbukti dengan kalahnya PH dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU14 semasa mereka menguasai kerajaan dahulu.

Walaupun BN pada kali ini adalah sebuah parti pemerintah, namun ia bersaing dengan Perikatan Nasional yang juga merupakan parti pemerintah.

Pakatan Harapan (PH) pula dilihat sebagai parti yang mempunyai sejarah buruk kegagalan mereka semasa memimpin kerajaan Persekutuan dan negeri dahulu.

Dan pada pilihan raya kali ini penulis melihat ada dua faktor utama yang akan membawa kemenangan kepada parti-parti yang bertanding.

Faktor yang pertama ialah faktor calon. Oleh kerana tidak ada parti yang dilihat mempunyai kelebihan yang benar-benar ketara untuk dipilih oleh rakyat, maka faktor calon akan menjadi penentu.

Parti yang boleh menghantar calon yang berwibawa, kemungkinan besar akan menjadi faktor rakyat mengundi sesuatu parti itu dalam PRN ini.

Faktor kedua yang menjadi cabaran paling besar yang perlu dihadapi oleh parti-parti yang bertanding ialah untuk memastikan pengundi-pengundi mereka turun mengundi nanti.

Ini susulan daripada kemungkinan berlakunya boikot daripada pengundi akibat wabak Covid-19 yang masih belum reda ditambah dengan kemarahan mereka kepada ahli politik yang sering mencipta kemusnahan dan bencana.

Kunci kemenangan mana-mana parti politik yang bertanding ialah kemampuan mereka untuk ‘mengheret’ pengundi-pengundi yang menyokong mereka ke bilik mengundi.

Dalam erti kata lain, jika sesebuah parti berjaya menarik minat seseorang pengundi untuk mengundi parti mereka, namun sekiranya mereka gagal untuk memujuk pengundi itu untuk turun mengundi maka sokongan itu tidak memberi makna apa-apa.

Ya, benar, sebelum ini pun memang inilah yang menjadi kepentingan sesebuah parti, iaitu untuk memastikan penyokong-penyokong mereka keluar mengundi. Jika tidak mereka akan kalah. Memang.

Tetapi yang membezakan perkara ini pada PRN Melaka ini ialah tugas untuk mengajak dan membawa pengundi yang menjadi penyokong sesuatu parti itu keluar mengundi mereka berada pada tahap sepuluh kali ganda lebih sukar berbanding dahulu akibat wabak Covid-19 ini.

Jika ini berlaku, maka kemungkinan keputusan PRN yang terhasil tidak menggambarkan kekuatan sebenar sesuatu parti di sesuatu kawasan pilihan raya itu.

Sebagai contoh, katalah hanya ada 10 orang pengundi. Dalam 10 orang itu pula, lima orang adalah menyokong Perikatan Nasional, tiga orang menyokong BN dan dua orang menyokong PH.

Namun jika daripada 10 orang pengundi tadi yang keluar mengundi ialah seorang penyokong Perikatan Nasional, seorang pengundi BN, sementara dua orang penyokong PH tadi kedua-duanya keluar mengundi PH, maka PHlah yang akan menang walaupun hakikatnya sokongan mereka paling rendah.

Ia boleh berlaku sekiranya jumlah pengundi yang keluar mengundi sangat sedikit, contohnya 30 ke 40 peratus sahaja. Kita pernah lalui situasi ini dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU14 contohnya pada PRK Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dengan peratus keluar mengundi kurang daripada 50 peratus.

Sekiranya mana-mana parti politik yang dapat menangani dua faktor penentu ini kemungkinan besar merekalah yang akan jadi pemenang dan membentuk kerajaan pada 20 November nanti. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -