Pensijilan halal agenda penting Pelan Pemulihan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 peserta dalam kalangan usahawan dan pemain industri di Malaysia disasarkan menyertai Persidangan Halal Kebangsaan @ Sidang Halal 2021 yang julung kali diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, penganjuran itu akan diadakan pada 23 November ini bertempat di Blok D, Kompleks Islam Putrajaya.

Katanya, program itu berkonsep webinar merupakan kemuncak himpunan industri halal bersama JAKIM selepas beberapa siri persidangan meja bulat diadakan sebelum ini.

“Perasmian Sidang Halal 2021 akan disempurnakan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan penutup Menteri Hal Ehwal Agama,” katanya pada satu kenyataan di sini.

- Advertisement -

Menurutnya juga sebanyak empat pembentangan dan satu Evening Talk dengan tajuk-tajuk yang menarik akan dikupas wakil kementerian dan agensi serta tokoh industri.

Tajuk menarik iaitu Pensijilan Halal Malaysia: Gelombang Baharu kepada pemangkin ekonomi negara; Halal Built In: Strategi Pintar Jaminan Halal.

Keperluan Integrasi Industri Halal dan Kewangan Islam dalam Pengiktirafan Produk atau Perkhidmatan Berstatus Halal; dan Halal – Pemangkin Pemulihan Ekonomi Sejagat.

Manakala, pada sebelah petang pula akan diadakan bual bicara Halal Malaysia dengan tajuk Industri Halal Menyatu Keluarga Malaysia.

Persidangan itu bertema ‘Halal Malaysia: Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Negara’.

Idris juga berkata, penganjuran Sidang Halal 2021 signifikan dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk menjadikan Pensijilan Halal sebagai salah satu agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada industri yang terkesan disebabkan pandemik.

Menurutnya juga selain webinar beberapa usahawan yang terpilih akan diberi anugerah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Tujuan penganugerahan yang julung kalinya diadakan sebagai penghargaan kepada industri halal yang menunjukkan komitmen tinggi untuk menjadikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebagai satu keutamaan dalam menyediakan produk,” katanya.

Sempena Sidang Halal 2021 juga perdana menteri akan melancarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (Malaysia Halal Management System) 2020.

“Kedua-dua dokumen itu merupakan dokumen utama dalam pelaksanaan pensijilan halal Malaysia selain Malaysia Standard yang menjadi rujukan dan panduan kepada pihak industri dan pihak berkuasa di Malaysia.

Sehubungan itu usahawan dan industri dijemput menyertai Sidang Halal 2021 secara percuma melalui aplikasi zoom, Facebook JAKIM dan Bahagian Hab Halal serta TV JAKIM yang akan menyiarkan program itu secara langsung melalui Youtube.

Katanya juga turut dijemput ahli-ahli akademik dan mahasiswa di universiti dan orang ramai yang berminat. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

- Advertisement -