Islam Menyatukan Ummah: Tujuh dekad bawa obor perjuangan

- Advertisement -

ISLAM adalah dasar perjuangan PAS sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan parti. Kerana itu tiap kali para perwakilan Muktamar Tahunan PAS berhimpun, isu berkaitan Islam kekal menjadi fokus dan agenda utama muktamar sama ada di dalam Ucapan Dasar Presiden mahupun, perbahasan-perbahasan para perwakilannya.

Di Muktamar PAS ke-67 baru-baru ini Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, menyebut bahawa menurut rekod PAS didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 24 November 1951. Ini bermakna PAS kini berusia 70 tahun dan sepanjang tujuh dekad serta 67 kali muktamar, Islamlah kekal menjadi fokus dan agenda utama PAS setiap detik sehinggalah ke hari ini.

- Advertisement -

Demikianlah konsistennya PAS dalam mendaulatkan perjuangan Islam dalam negara ini, dari parti kecil yang ditubuhkan di Pulau Pinang 70 tahun lalu, hari ini PAS punya 197 kawasan seluruh negara dengan 7,628 cawangan dan keahlian yang telah melalui proses pemutihan seramai 845,920 orang.

Dengan usia yang matang dan pengalaman yang luas menyertai Pilihan Raya Persekutuan sebelum Merdeka pada tahun 1955 dan 14 Pilihan Raya Umum selepas Merdeka PAS kini suatu kuasa politik dalam arus perdana negara yang tidak boleh dipandang remeh malah sejak 3 dekad kebelakangan ini sentiasa meningkat prestasinya sehingga kini berada sebagai sebahagian dari Kerajaan Persekutuan dan terjau di tiga buah negeri.

Islam ternyata mencorak dan mempengaruhi PAS, sikap dan pendekatannya sehinggakan langkah dan gerakannya kadangkala sukar dibaca oleh para penganalisa, musuh mahupun kawan politik. Yang jelas Islam telah banyak membezakan antara PAS dengan parti-parti lain. Kerana berpegang teguh pada Islamlah maka PAS tidak sekali-kali bersedia menggadaikan prinsipnya semata-mata kerana mengejar kemenangan atau kepentingan yang diutamakan oleh pihak lain.

Suka tidak suka sesungguhnya sikap inilah yang telah menjamin survival PAS selama tujuh dekad ini dan kekal dihormati serta diterima oleh rakyat jelata. Ada parti-parti lain yang seangkatan dengan PAS, pupus dan tidak mampu bertahan, malah parti-parti yang lebih muda usianya juga hilang tanpa tanda. Tetapi PAS terus relevan dan berjuang dalam politik tanah air semakin gagah dengan usia 70 tahun dan bakal terus melangkah jauh ke hadapan dekad-dekad mendatang.

Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden PAS kali ini bertemakan ‘Islam menyatukan ummah’. Tajuk ini sahaja menunjukkan betapa seriusnya peranan PAS hari ini, bukan sekadar baru nak mencari ahli atau membuka cawangan, tetapi kini sudah ke tahap mampu menggerakkan kekuatan memainkan peranan besar menyatukan ummah, umat ijabah dan umat dakwah disasarkan dengan harapan penyatuan ummah sebenar dengan Islam sebagai tonggak kepimpinan dapat didirikan di negara tercinta.

Islam yang diletakkan sebagai dasar perjuangan PAS itu telah melahirkan saf kepimpinan dan ahli-ahli yang istiqamah yang dibentuk melalui sistem pentarbiyahan yang berterusan dalam parti. Sebagaimana ditegaskan oleh Senator Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS tarbiyah adalah untuk memastikan anggota PAS sentiasa berada di landasan perjuangan sebenar.

Selagi mana sistem pentarbiyahan di dalam parti tekun dituruti oleh ahli-ahli PAS, selagi itulah PAS tidak akan tersasar atau tergelincir dari tuntutan perjuangannya yang sebenar. Melalui tarbiyahlah ahli-ahli PAS memiliki kualiti istiqamah dan terus bersabar, meniti arus perjuangan perjuangan yang penuh gelombang dan cabaran ini mengejar cita-cita yang murni yang dituntut oleh agama.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas sebelumnya menyebut bahawa PASlah satu-satunya parti yang wakil rakyatnya sama ada ADUN mahupun Ahli Parlimen tidak seorang pun bertindak keluar atau lompat parti sejak PRU ke-14 lalu sebagaimana dialami oleh parti-parti lain sama ada di blok pembangkang mahupun kerajaan.

Inilah bukti kekuatan tarbiyah dalaman dan inilah bukti parti yang memiliki integriti yang tinggi sehingga tiada wakil rakyatnya yang tergiur atau tergerak untuk mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh parti dan rakyat atas apa alasan dan hambatan sekalipun.

Lantas lantaran dasar perjuangan Islamnya jugalah PAS tidak sekali-kali akan berputus asa dalam mengharungi arus politik yang cukup dinamik dan bergelora ini bagi terus membawa dan menjuarai agenda penyatuan ummah sebagaimana dituntut oleh Islam.

Perjalanan menghadapi cabaran demi mencipta penyatuan ummah ini adalah perjalanan yang mesti dilalui oleh PAS sebagaimana ditegaskan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh. Yang jelas dalam merintis perjalanan penuh mencabar ini pelbagai langkah percaturan politik terpaksa diambil, apapun tindakannya terbukti PAS sekali-kali tidak akan rugi kerana kita yakin perjalanan kita senantiasa dipayungi oleh Allah S.W.T.

Ahli-ahli PAS jangan sesekali berpolitik sebagaimana parti lain yang tidak melalui proses tarbiyah dan tidak pula bersama berkongsi cita-cita meletakkan Islam sebagai formula penyatuan ummah. Kekuatan yang kita miliki ini sewajarnya melahirkan budaya politik yang matang dan sejahtera, budaya yang pasti mencairkan hati sasaran kita bukannya membangkitkan benci dan ketegangan sehingga akhirnya menggagalkan misi besar kita.

Kekuatan ini hanya dimiliki oleh ahli-ahli PAS lalu pupuk dan peliharalah ia. Jangan kerana tertekan atau emosi kita menjadi tidak sabar lantas cacat dan rosaklah kekuatan tadi.

Kerana itu di dalam Muktamar kali ini Ustaz Idris telah terbit dengan beberapa saranan yang perlu dipatuhi ahli-ahli PAS antaranya, jaga ibadat dengan Allah S.W.T, jangan lupa Al-Quran, pastikan sentiasa mengikuti usrah dan jangan jemu berdoa. Inilah ciri-ciri yang jika diamalkan bakal menjamin kekalnya kekuatan ahli-ahli PAS sekali gus bakal meletakkan PAS terus relevan.

PAS kekal di persada politik negara membawa Islam selama tujuh dekad berkat kekuatan dalaman ahli-ahli dan saf kepimpinannya dan begitulah kita harapkan seterusnya agar PAS dapat memainkan peranannya sehingga berjaya cita-cita yang diimpikan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 11/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1638579553148041/

- Advertisement -