Pendalaman Sg Temelong boleh bantu atasi banjir kilat

- Advertisement -

LENGGONG: Hujan lebat sejak petang hingga sekitar jam 10 malam tadi telah menyebabkan limpahan air Sungai Temelong yang mengakibatkan banjir kilat melanda 50 kediaman di Kampung Sumpitan, di sini.

- Advertisement -

Ekoran keadaan tersebut juga, dua mangsa dipindahkan oleh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong ke tempat lebih selamat apabila rumah-rumah mereka dinaiki air separas 1.25 meter.

Komander Operasi, Penolong Pegawai Bomba dan Penyelamat, Farizul Anuar Razali dari BBP Lenggong berkata, pihaknya telah menerima panggilan jam 6.10 petang daripada wakil penduduk kampung memaklumkan kejadian itu.

Sehubungan itu maklumnya, sepasukan anggota bersama jentera telah dihantar ke lokasi banjir selepas menerima panggilan dan mendapati paras air sudah 4 kaki di kawasan tersebut dan terdapat perpindahan mangsa.

“Iaitu seorang perempuan dewasa, dan seorang bayi lelaki dengan menggunakan motorbot fiber BBP,” katanya dalam satu kenyataan bertulis.

Farizul Anuar bagaimanapun memberitahu, hujan akhirnya berhenti dan air mulai surut, serta tiada Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka dan semua mangsa telah pun pulang ke rumah masing-masing.

Tambahnya, anggota telah membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa yang lain terperangkap di kawasan dinaiki air, manakala pemantauan berkala tetap dilakukan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, beberapa kumpulan WhatsApp telah melaporkan kejadian banjir kilat turut melanda sebahagian rumah di Kampung Gua Badak dan Bukit Sapi, bagaimanapun tidak melibatkan perpindahan mangsa.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Mohd Jamil Yahaya yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan mencadangkan supaya sungai berkenaan di korek lebih dalam dari sebelah hulu hingga ke muaranya.

Katanya, benteng penghalang arus air daripada melanda rumah-rumah yang sering kena banjir itu perlu dibina dalam usaha mengelak kejadian musibah itu berulang lagi.

“Di kawasan yang tiada penempatan rumah-rumah penduduk, boleh diperluas dan diperdalamkan sungai itu, manakala di kawasan ada rumah yang sering kena banjir dibina benteng,” cadangnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

*gambar ihsan BBP

- Advertisement -