PAS mantap hubungan Perikatan Nasional di Sabah

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
PAS Sabah komited memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi meningkatkan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, PAS Sabah akan sentiasa mengadakan pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri bagi merapatkan lagi hubungan dua hala.

“Perbincangan dengan kerajaan negeri diadakan berkaitan hal ehwal pembangunan rakyat Sabah, di samping membina keakraban dan hubungan lebih kukuh dan mantap bersama kerajaan GRS,” katanya selepas mengunjungi Ketua Menteri Dato’ Sri Panglima Hajiji Noor di Pejabat Ketua Menteri semalam.

- Advertisement -

Pertemuan tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Mohd Aminuddin Aling dan Ketua Pemuda PAS negeri Hendri Hamsah.

Dr Aliakbar juga berkata, pertemuan terbabit turut membincangkan kerjasama melibatkan masa hadapan politik di Sabah dengan mengambil kira kedudukan PAS sebahagian daripada parti komponen PN dan GRS.

“Kita juga turut membincang tentang hal ehwal Sabah khususnya berkaitan pembangunan dan beberapa aspek mengenai perjanjian Malaysia 1963,” ujarnya.

Menurutnya juga Ketua Menteri berharap kunjungan tersebut dapat mengukuhkan lagi ukhuwwah yang terjalin antara PAS dan Bersatu atas semangat PN dan GRS. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -