Abd Alim mesra dan dekat dengan warga Merlimau

- Advertisement -

JASIN: Calon Perikatan Nasional N.27 DUN Merlimau, Abd Alim Shapie dilihat begitu disenangi rata-rata penduduk setempat yang ditemui beliau ketika berkunjung ke Pasar Tani Pekan Merlimau, di sini semalam.

Hampir setiap pengunjung dan peniaga yang bersua dengannya bertegur mesra bertanya khabar dan berbual ringkas, malah ada juga meluahkan pelbagai harapan mereka kepada beliau untuk diperjuangkan.

- Advertisement -

Di kesempatan tersebut, beliau turut meluangkan masa bersarapan bersama beberapa peniaga dan pengunjung yang dilihat menyatakan sokongan padu buat beliau sebagai calon PRN Melaka ini.

“Dengan izin Allah, saya telah diberi amanah oleh parti untuk berkhidmat demi rakyat Melaka, khususnya orang kampung. Semoga amanah serta perjuangan ini di rahmati Allah. Bagi orang kampung, doa serta sokongan anda amat dihargai,” kata beliau selepas Proses Penamaan Calon yang berlangsung kelmarin.

Abd Alim akan menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan Azrin (PH) dan Dr Muhamad Akmal (BN) berdasarkan pengumuman yang disampaikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi DUN tersebut

Pada PRU14, DUN Merlimau dimenangi oleh calon BN, Datuk Roslan Mohamed dengan majoriti 130 undi selepas memperolehi 5,290 undi menewaskan calon PAS, Abdul Malek Yusof (1,208 undi) dan calon PKR, Yuhaizad Abdullah (5,160 undi).

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 20 November dengan terdahulu penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -