Kenali nyamuk Aedes Aegypti

- Advertisement -

SESUATU yang perlu anda tahu mengenai nyamuk pembawa virus denggi – nyamuk Aedes Aegypti:

- Advertisement -

Nyamuk betina yang menjadi punca jangkitan virus denggi, di mana nyamuk betina akan menghisap darah manusia. Manakala nyamuk jantan hanya menghisap madu. Biasalah jantan suka madu.

Telur nyamuk ini boleh bertahan di tempat kering sehingga 9 bulan – setahun lamanya. Jadi penting bagi kita untuk membersihkan kawasan rumah. Walaupun tiada air bertakung, tetapi mana-mana bekas yang mempunyai potensi untuk dimasuki air perlu dihapuskan. Kemungkinan telur nyamuk tersebut terdapat di dalamnya. 

Larva atau jentik-jentik nyamuk Aedes Aegypti boleh bertahan hidup di dalam air sehingga berbulan lamanya. Oleh itu jika terdapat sahaja air bertakung di mana-mana tempat, musnahkanlah dengan segera. 

Nyamuk Aedes Aegypti ini bukan sahaja pembawa virus denggi tetapi ia juga boleh membawa virus Zika dan Chikungunya.

Kaedah nyamuk ini mengesan manusia melalui sesungutnya, di mana sesungut ia sensitif dengan nafas manusia yang mengeluarkan karbon dioksida dan bau manusia yang mengandungi asid laktik. Berpakaian warna terang dan mendedahkan sebahagian besar badan juga menjadi tarikan nyamuk ini untuk menghinggapi mangsanya. Teknik mereka menghampiri mangsa melalui arah belakang dan bawah. Oleh itu kita diminta untuk memakai pakaian yang berwarna gelap dan berpakaian menutup sebahagian besar badan seperti baju lengan panjang dan berseluar panjang.

Kitaran hidup nyamuk Aedes Aegypti ini terlalu singkat bermula dengan telur, menetas menjadi kepompong dan dewasa hanya 7 hari sahaja. Sebaik sahaja dewasa hari ke-3, sudah mula boleh bunting setelah menghisap darah manusia. Zat besi dan protein dari darah manusia ini yang menjadi sumber subur untuk bunting. Sepanjang jangka hayat nyamuk tersebut 14 – 21 hari, sebanyak 3 – 5 kali bunting. Setiap kali bertelur boleh sebanyak 100 biji. Oleh itu diingatkan kita supaya sentiasa mencari dan membuang mana-mana bekas berpotensi yang boleh menyebabkan pembiakannya nyamuk ini setiap minggu. Usaha pembersihan ini dilakukan supaya kitaran hidup nyamuk ini akan dapat diputuskan dengan serta merta.

Nyamuk ini mampu untuk menghisap darah manusia setiap 2 jam. Oleh itu transmisi jangkitan virus denggi boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. Wilayah pergerakan nyamuk ini sekitar 200 sehingga 400 meter. Mereka aktif mencari mangsa pada awal pagi dan beberapa jam sebelum malam. Oleh itu bagi sesuatu kawasan yang terdapat wabak denggi, tindakan segera dari pihak kesihatan dan kita untuk memutuskan rantai jangkitan itu amat penting.

“Hapuskan Aedes Cegah Denggi”

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 10/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1033106371/posts/10223850114454118/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -