Kedah lancar ‘Hapus Nyamuk Aedes’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan melancarkan Program Hapus Nyamuk Aedes sebagai langkah pencegahan wabak demam denggi di negeri itu.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program itu diadakan untuk membendung pembiakan nyamuk aedes memandangkan sejumlah 720 kes demam denggi dikesan di Kedah setakat ini.

Katanya, setiap anggota masyarakat di Kedah perlu terlibat dengan program tersebut dengan membersihkan kawasan kediaman masing-masing.

- Advertisement -

“Program Hapus Nyamuk Aides akan diadakan pada hari Jumaat namun setakat ini tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan lagi,” ujarnya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya juga, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan tempat berpotensi pembiakan aedes dimusnahkan sebagai tindakan awal.

“Persekitaran rumah dan premis perniagaan hendaklah dibersihkan. Buang bekas-bekas yang boleh air bertakung termasuk di kebun getah,” katanya.

Kata beliau juga, pihak berkuasa mengesan sejumlah 8,422 tempat pembiakan nyamuk di negeri itu. – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -