Kes Covid-19 meningkat selepas aktiviti balik kampung

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Aktiviti balik kampung dan berkumpul ketika cuti hujung minggu memberi ruang kes Covid-19 meningkat semula di Kelantan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, cuti itu bermula dengan sambutan Deepavali kemudian bersambung cuti hujung minggu menjadi punca peningkatan kes sehingga dua kali ganda di Kelantan.

Katanya berdasarkan pemerhatian mendapati kes harian Covid-19 di negeri itu berlaku peningkatan setiap kali selepas musim perayaan.

- Advertisement -

“Hanya satu cara untuk atasi perkara tersebut dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kendiri memandangkan kita juga sudah memasuki tempoh endemik.

“Kebanyakan rakyat juga telah mendapatkan suntikan vaksin, namun kalau abaikan SOP semua (kemungkinan) boleh berlaku.

“Esok akan diadakan mesyuarat termasuk membincangkan laporan punca Kelantan mendapat nombor satu (kes tertinggi) semalam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat.

Semalam Kelantan menduduki tempat pertama kes Covid-19 iaitu 820 kes.

Peningkatan itu menjadikan kes harian Covid-19 di negeri itu melebihi dua kali ganda kes berbanding sebelumnya iaitu 376 kes.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Mohd Hashim Mustapha, 55 memenangi Tokoh Belia Harapan Sukan Kelantan dan Roslan Ismail, 49 merangkul anugerah Tokoh Aktivis Belia Kelantan.

Masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000. – HARAKAHDAILY 9/11/2021

- Advertisement -