Pemuda PN percaya rakyat Melaka matang

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA: Pemuda Perikatan Nasional berharap rakyat Melaka lebih matang membuat keputusan dalam memilih pemimpin mereka.

Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin, berkata kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini terbukti merupakan sebuah kerajaan yang prihatin melalui bantuan yang disalurkannya.

- Advertisement -

“Kita harapkan rakyat Melaka mengambil keputusan yang lebih matang untuk memberikan kepercayaan kepada Perikatan Nasional.

“Ini kerana kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini terbukti merupakan kerajaan prihatin, memberikan bantuan kepada rakyat menghadapi Covid-19 dengan pelbagai pakej yang memakan ratusan bilion ringgit,” katanya.

Justeru itu, kata Khairil, beliau berharap agar rakyat Melaka akan memberi peluang sekali lagi kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk mentadbir negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah semasa menghadiri Majlis Taujihad Calon PAS di Markas Induk Bukit Katil, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung usia calon yang terlalu muda bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Khairil, perkara tersebut telahpun ditetapkan oleh Undang-undang Pilihan Raya negara ini.

Katanya, beliau menghormati keputusan parti lain yang meletakkan calon muda dan yakin latar belakang calon tersebut disemak dengan baik oleh parti berkenaan.

“Dari sudut kompetensi dan sebagainya, itu adalah hak parti masing-masing. Pada saya, kita bersetuju untuk letakkan calon muda, tetapi pastikan calon tersebut bukan sekadar mempunyai kelayakan akademik yang terbaik.

“Selain itu, calon juga perlu mempunyai pengalaman mengurus rakyat seperti berpengalaman mengurus organisasi di tempat kerja,” katanya.

Jelasnya, hal ini kerana beliau yakin pengalaman sedemikian menjadikan calon berkenaan mempunyai kelebihan untuk berjumpa dan membantu rakyat yang hadapi masalah.

Menurutnya lagi, tanpa pengalaman adalah sukar untuk seseorang ahli dewan rakyat itu untuk mendekati rakyat. – HARAKAHDAILY 8/11/2021

- Advertisement -