Istiqamah program tarbiyah, tak diam pelanggaran syarak

- Advertisement -

KUALA NERUS: Program-program pentarbiyahan mesti terus dilaksanakan dengan komited sungguhpun PAS kini telah menjadi sebahagian kerajaan dan berdepan juga cabaran pandemik COVID-19.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, tarbiyah adalah untuk memastikan anggota PAS sentiasa berada di landasan perjuangan sebenar biarpun memiliki kekurangan dan aib lainnya.

Apatah lagi katanya, dalam keadaan ketika ini menjadi kerajaan, PAS sentiasa diteropong dan diperhatikan pelbagai pihak yang menuntut jati diri dipertingkatkan menerusi tarbiyah.

“Kalau sekiranya kamu nak cari seorang pun tak ada kecacatan kepada dia, maka kamu tak akan temui. Ya, tetapi biarlah kita ini minimumkan kecacatan dan keaiban kepada kita.

“Itu peringatan juga kepada saya. Sebab itu program program pentarbiyahan ini perlu kita letakkan di situ. Maka sebab itulah dalam hal apabila kita berkerajaan, maka penting ialah fastaqim kama umirta, sebagaimana Allah Taala menyebut dalam surah Hud.

“Maka hendaklah kamu wahai Muhammad sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada kita.

“Maka sebab itu kita mesti istiqamah dalam apa keadaan sekalipun kita duduk di atas landasan sebagaimana yang telah pun ditentukan oleh agama kita,” peringat beliau memetik nasihat Imam Ghazali R.H.

Beliau juga berharap supaya pandemik COVID-19 tidak menjadi alasan tidak melaksanakan program tarbiyah di mana penggunaan aplikasi teknologi maklumat terkini mesti dimanfaatkan.

Ustaz Idris turut memuji pelaksanaan-pelaksanaan program tarbiyah yang digariskan parti, namun ia banyak dibuat oleh Dewan Muslimat berbanding lain-lain dan berharap semua peringkat mengusahakan penganjurannya.

Turut ditegasnya adalah pendirian dan konsisten PAS yang walaupun sudah menjadi sebahagian kerajaan, tetapi tetap menegur perkara-perkara bercanggah syarak dan sama sekali tidak mendiamkan diri. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -