KUALA NERUS: PAS kini mempunyai 197 PAS Kawasan daripada 222 Parlimen seluruh negara dengan 185 Dewan Pemuda PAS Kawasan dan 182 Dewan Muslimat PAS Kawasan serta 44 Dewan Ulamak PAS Kawasan dan 7,618 PAS Cawangan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, secara umumnya PAS juga mempunyai lebih 1 juta ahli, namun setelah pemutihan diadakan, ahli yang aktif adalah seramai 845,920 ahli dan tidak aktif hampir 50,000 orang.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.
Tegas beliau, semua urusan pentadbiran PAS melalui Jabatan Setiausaha menjalankan tugas kesetiusahaan dengan berpandukan kepada Perlembagaan PAS pindaan tahun 2020 serta tertakluk kepada hukum dan segala peraturan digariskan.
Beliau dalam menyatakan tugas dilaksanakan Jabatan Setiausaha di semua peringkat menekankan mengenai kepentingan masa serta budaya kerja tekun dan cemerlang tanpa meremehkan urusan-urusan yang dipertanggungjawabkan.
Turut diberi perhatian pihaknya adalah keutamaan kerja tanpa adanya sikap bertangguh agar memastikan tenaga kerja, jentera, kewangan dan tadbir urus berada dalam keadaan terbaik setiap masa.
Ahli Parlimen Kota Bharu ini juga menyentuh mengenai struktur Jabatan Pilihan Raya PAS yang dipujinya antara terbaik dan merupakan pekerja belakang tabir dalam memenangkan PAS menjadi kerajaan negeri hingga ke Persekutuan.
Malah katanya, Jentera Pilihan Raya PAS adalah petugas-petugas yang bekerja setiap masa di mana cuti mereka hanya sebulan iaitu selepas tamatnya satu-satu pilihan raya umum dan hingga kini jentera tersebut tidak mempunyai masalah.
Juga disentuhnya adalah kemampuan Jabatan Bendahari yang buat pertama kalinya membentang penyata kewangan tanpa dipersoal perwakilan, selain budaya infak cukup memberangsangkan terutama dari perjawatan politik dipegang kini. – HARAKAHDAILY 7/11/2021