DHPP ingatkan ahli supaya tabayyun dan ikhlas

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kepesatan pembangunan dunia media sosial masa kini menuntut semua pihak untuk berhati-hati dan tabayyun dengan setiap maklumat yang diterima menerusi pengesahan sebenar.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Senator Balasubramaniam Nachiappan mengingatkan supaya tabayyun dilakukan sebelum mempercayai dan menyebarkan sesuatu maklumat kepada pihak lain.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Menyentuh mengenai perjalanan dewan dipimpinnya itu, beliau memberitahu bahawa sentiasa mengingatkan anggotanya supaya sentiasa mendengar arahan kepimpinan tertinggi PAS.

Beliau juga selalu mengingatkan mereka terhadap keikhlasan untuk terus kekal berada dalam perjuangan PAS dan bukannya menyertai kerana kepentingan peribadi atau mengambil kesempatan mencari kesenangan.

“Jangan mengugut parti dan mendesak untuk mendapatkan jawatan. Saya katakan kepada pimpinan DHPP gejala ini untuk dinyahkan daripada DHPP,” ujarnya.

Maklumnya, entiti tersebut turut sentiasa diperingatkan untuk beraktiviti dan bergerak dalam kerangka yang jelas berdasar Perlembagaan PAS. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -