Lelaki, suami juga penting bantu selesai isu wanita

- Advertisement -

KUALA NERUS: Keizinan para suami kepada amilin dan kepimpinan Muslimat PAS untuk bergerak kerja dalam perjuangan ini hakikatnya kerana meletakkan kepentingan agama hingga sanggup memberikan hak mereka.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam menyatakan penghargaan dewan itu kepada para suami yang demikian dan semua pihak atas kepercayaan diberikan kepada Muslimat dalam gerak kerja selama ini.

“Kami ingin menyatakan komitmen kami selaku Muslimat PAS dalam membantu PAS Pusat dalam perjuangkan agama Allah di bumi Malaysia.

“Kerana misi visi Dewan Muslimat PAS Malaysia iaitu menerajui gerakan wanita yang memperjuangkan kesejahteraan individu keluarga masyarakat dan  kedamaian negara yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, walaupun perwakilan Muslimat belum mencapai 30 peratus yang disasarkan, tetapi sokongan semua pihak kepada Muslimat telah memberikan mereka semangat untuk meneruskan perjuangan.

Beliau mengajak perwakilan untuk bersama melihat serius isu-isu wanita sebagaimana turut dibangkitkan pembahas melibatkan antaranya permasalahan keluarga dan juga kanak-kanak di mana menuntut penyelesaian.

“Bagaimana wanita dijadikan sasaran oleh musuh-musuh Islam, wanita dijadikan sasaran oleh kumpulan Liberal dan pelbagai gerakan lain. Sehinggakan mereka sanggup untuk meletakkan bahawa agama Islam ini adalah satu agama yang seolah-olah mengongkong tidak adil kepada wanita,” bidasnya.

Dr Rosni mengajak agar konsep ‘qawwam’ yang dinyatakan Allah di dalam al-Quran sebagai antara penyelesaian kepada masalah timbul dalam kalangan umat hari ini. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -