Naikkan elaun OKU sehingga RM500

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Persatuan Orang-orang Cacat Anggota Malaysia (POCAM) berharap elaun untuk orang kelainan upaya (OKU) dinaikkan sehingga RM500.

Ahli Majlis Tertingginya, Mohd Hidzir Othman, berkata permintaan itu berdasarkan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi selain tidak semua OKU memiliki pekerjaan seperti dirinya.

- Advertisement -

“Patut dinaikkan elaun kehidupan OKU ini sebab harga barang sudah naik, kos sara hidup tinggi, tidak semua orang OKU bekerja macam saya.

“Masalah dan punca OKU tidak keluar rumah, tidak bekerja kerana mereka berasa rendah diri, malu dan kemungkinan besar tiada galakan berprograsi,” katanya ketika ditemui Harakah, pada Rabu.

Menurut Mohd Hidzir, Bajet 2022 yang dibentangkam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bulan lalu adalah antara bajet yang terbaik.

Mohd Hidzir yang juga OKU anggota kaki berkata, beliau memandang positif terhadap Bajet 2022 dan berharap sebarang rancangan kerajaan untuk memajukan OKU, diberi peruntukan yang wajar.

Katanya hal ini kerana, bukan semua OKU tidak kreatif dan percaya lebih ramai OKU yang kreatif, namun bakat mereka tidak dicungkil.

Menurutnya lagi, sekiranya bakat dan kreativiti golongan OKU dicungkil dan diasah, beliau yakin kemampuan mereka juga tiada tandingnya.

Ditanya mengenai fasiliti dan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk golongan OKU, kata Mohd Hidzir, kemudahan yang ada di Malaysia untuk golongan itu sebenarnya di tahap yang membanggakan.

“Bagi saya sendiri, sebelum ini kerajaan Perikatan Nasional (PN, sekarang Keluarga Malaysia pun mesra OKU, termasuk Barisan Nasional (BN), semua kerajaan mesra OKU, tiada masalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -