Agensi agama agresif turun padang santuni rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lebih 260,000 penduduk menerima sumbangan yang diagih agensi-agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menterinya Senator Idris Ahmad berkata, sumbangan itu dalam tempoh dua bulan bermula 1 September hingga 31 Oktober lepas yang berjumlah RM16.71 juta.

Katanya sumbangan terbabit diagihkan melalui lapan agensi Islam iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Tabung Musaadah Covid-19, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

- Advertisement -

Selain itu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Tabung Haji (LTH), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan TV Al-Hijrah.

“Pengagihan sumbangan dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan tersebut merangkumi Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) yang menjadi hala tuju 100 hari agensi-agensi Islam,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Antara sumbangan yang diberi iaitu wang tunai, bakul makanan, makanan bermasak, peralatan kesihatan, bantuan institusi-institusi pendidikan, peranti elektronik, van dwi-fungsi dan sebagainya.

“Berkat usaha gigih yang dilaksanakan agensi-agensi terbabit, alhamdulillah kita berjaya dan akan terus agresif turun padang melaksanakan tanggungjawab menyantuni Keluarga Malaysia yang memerlukan khususnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

- Advertisement -