PRN Melaka: Guna logo PN keputusan bijak

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Melaka menyifatkan keputusan jawatankuasa pusat parti itu untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah tindakan bijak.

- Advertisement -

Menurut Ketua Penerangan PAS negeri, Bakri Jamaluddin, keputusan itu menunjukkan PAS kini berada pada era yang mengambil berat penyatuan rakyat dan politik rentas kaum.

“PAS Melaka menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang memutuskan agar PAS menggunakan lago PN dalam PRN Melaka.

“Keputusan menggunakan logo PN merupakan suatu keputusan yang bijak. PAS yang sebelum ini dilabel sebuah parti yang berfikiran sempit, eksklusif, terlalu Melayu dan Islam.

“Namun kini ternyata dilihat lebih terbuka dalam menghadapi PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November nanti,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, memang tidak dapat dinafikan suasana politik di Kelantan, Terengganu dan Kedah berbeza dengan Melaka dan negeri-negeri Pantai Barat lainnya.

“Kesediaan PAS menggunakan logo PN akan memberikan keyakinan kepada rakyat akan kemampuan PAS bekerjasama dalam satu gabungan yang dianggotai oleh berbagai parti.

“PN melambangkan perpaduan, tanggungjawab bersama dan kerajaan yang dianggotai secara kolektif di peringkat Kerajaan Pusat,” ujarnya lagi.

Namun, menurut beliau, PAS Melaka menzahirkan harapan agar PN tetap dapat bekerjasama dengan BN yang dianggotai oleh Umno dalam PRN ini bagi mengekalkan kestabilan politik yang didukung atas asas pertahan PN dan perkasakan Muafakat Nasional (MN).

“Kita ada musuh politik yang sama iaitu PH. Jadi kita harus sama-sama berganding bahu menentang mereka, bukan bergaduh sesama sendiri,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -