Dewan Ulamak disaran rangka program mesra pengundi muda

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SEREMBAN: Ahli Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) disaran merangka program yang lebih mesra dengan pengundi muda.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan pengundi muda tidak mempunyai identiti parti politik tersendiri.

- Advertisement -

Katanya, terdapat juga segelintir daripada mereka yang cenderung memilih calon pemimpin berdasar kepada rupa paras.

“Kadang-kadang sokongan itu mereka beri kepada individu yang banyak bermuamalah (bercampur) dengan mereka.

“Kita masuk ke kedai, belanja mereka, tanya khabar mereka dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan DUPP ke-60, di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, di sini, semalam.

Justeru itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menyarankan Ahli Dewan Ulamak PAS turut mengambil peranan mendekati pengundi muda dengan merangka program yang lebih mesra.

Katanya, walaupun hasrat tersebut dilihat sukar, namun sekurang-kurangnya Dewan Ulamak mampu mewujudkan jambatan kepada golongan berkenaan mendekati PAS.

Beliau juga menyarankan AJK Dewan Ulamak supaya meletakkan martabat satu taraf dengan anak muda dengan tidak menggadai moral dan maruah untuk mendekati golongan itu.

Tambahnya, AJK Dewan Ulamak juga perlu turun bercakap dan bergurau dengan anak muda dengan tidak menampakkan ‘elit’ atau ‘alim’ sangat kerana akan menjauhkan daripada mereka.

“Kita perlu terokai bidang-bidang yang seumpama ini, dan ini adalah salah satu perkara yang menjadi kelemahan kepada kita dalam Dewan Ulamak.

“Ini kita kena akui belakalah, apabila saya sebut Dewan Ulamak, kepala dia sayalah. Lemah bermula daripada saya, kita lemah. Cuma kita kena perbaiki semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2021

- Advertisement -