PRN Melaka: Majlis Syura lulus kelayakan calon PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f).

Ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat MSU yang diadakan di Pejabat Agung PAS di sini, hari ini.

Setiausaha MSU, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mesyuarat juga telah membincangkan penggunaan lambang dalam PRN Melaka dari sudut siyasah syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada PH.

- Advertisement -

“MSU melihat aspek ini dalam kerangka perkara-perkara mutaghyyirat (boleh berubah) dan bukannya perkara thawabit (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan tektikal dan strategi parti,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, jelasnya MSU menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84.

Selain itu, kata beliau MSU sebulat suara memilih dan memperbaharui pelantikan Tuan Guru Dato’  Hashim Jasin sebagai Mursyidul ‘Am PAS berkuatkuasa pada 31 Oktober 2021 untuk tempoh selama lima tahun sebagaimana peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 8 (6).

Beliau turut memaklumkan MSU juga menetapkan bahawa perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ke Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 pada 6 dan 7 November ini adalah berstatus pemerhati.

Jelasnya, pemilihan Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat untuk sesi 2021/2023 pula akan diadakan seberapa segera dengan merujuk kepada Aturan dan Peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 87(2) dan Fasal 91(1),” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. – HARAKAHDAILY 31/10/2021

- Advertisement -