PRU15: Lengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani

- Advertisement -

SEREMBAN: Dewan Ulamak PAS hendaklah membuat perancangan dari sekarang untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggesa semua ahli dan petugas PAS untuk melengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Sehubungan itu, beliau memetik firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat ke-60 yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (iaitu musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan- pasukan berkuda yang lengkap, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.

Katanya, kemenangan yang dicari pastinya kemenangan yang berprinsip dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

“Sekalipun kita berada dalam gelanggang demokrasi yang meletakkan pihak yang memiliki majoriti namun kita perlu pastikan segala gerak kerja, kempen dan program kita mesti patuh syariah, bermanfaat dan tidak mengundang murka Allah.

- Advertisement -

“Dalam masa yang sama, kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh agar pengundi-pengundi dapat mengundi bagi pihak kita untuk menambahkan bilangan kerusi baik di peringkat Parlimen, mahupun di negeri-negeri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-60 dengan tema ‘Ulama Memimpin Muafakat Ummah’ di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Senawang, hari ini.

Menurutnya, fokus yang sinonim dengan gerak kerja para ulama ialah menyentuh soal aqidah dalam mendepani serangan ideologi Barat.

“Kita lihat bagaimana doktrin materialistik, feminism dan liberalisme yang menjalar ke dalam masyarakat kita,” katanya.

Akhirnya, ujar beliau manusia hilang pedoman agama dan pertimbangan yang mereka pilih adalah berasaskan kebendaan dan emosi semata-mata.

“Kita dapat lihat bagaimana kumpulan liberal seperti G25 yang berani secara lantang mengkritik pelaksanaan hukuman jenayah Islam berkenaan hudud,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Begitu juga, ujar beliau kumpulan LGBT yang lantang bersuara atas nama hak asasi manusia dalam membenarkan manusia gender ketiga.

Hal sebegitu, katanya suara para ulama mesti juga lantang dan terkehadapan dalam menjernihkan kefahaman masyarakat agar tidak terikut dengan seruan-seruan menyeleweng tersebut.

Selain itu, tambah beliau para ulama juga mesti berusaha membentang solusi-solusi yang berkait dengan pentadbiran negara dan isu dalam kehidupan rakyat dari perspektif syariah.

Beliau berkata, segala solusi yang patuh syariah dan memenuhi maqasid syariah mesti dibentang dan diwacanakan agar masyarakat dapat melihat keindahan Islam dalam kehidupan.

Tambahnya, para ulama boleh berganding bahu dengan pakar-pakar dan professional dalam sesuatu bidang agar wujudnya satu perbincangan yang boleh menghasilkan satu kertas kerja yang mencakupi perspektif syariah dalam sesuatu isu yang dikemukakan.

Katanya lagi, masyarakat perlu didedahkan dengan solusi-solusi dari perspektif Islam agar mereka bertambah yakin dengan perjuangan Islam seumpama model kerajaan yang kini sedang dipimpin oleh PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau menggariskan empat asas gerak kerja dalam persiapan menghadapi PRU15 iaitu menghidupkan program kerohanian seperti munajat, qiyamullail, pemerkasaan mutabaah amal dan kuliah-kuliah haraki terutamanya dalam kalangan ahli PAS.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Kawasan Seremban. (Foto oleh Muhamad Zuhairie Affrindi)

Di samping itu, katanya menasihati dan memantau setiap aktiviti serta program yang dijalankan adalah selari dengan syariat Islam selain memberikan penekanan soal aspek aqidah dan ancaman daripada ideologi-ideologi Barat ke dalam masyarakat.

Tambahnya, gerak kerja seterusnya ialah bekerjasama dengan pakar dalam sesuatu bidang untuk perbincangan isu-isu semasa agar menatijahkan solusi dari sudut perspektif Islam untuk diterangkan kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -