Sekolah Kemanusiaan di Bachok dimanfaat sukarelawan Asia Pasifik

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sekolah Lapangan Kemanusiaan di Kampung Kandis Bachok akan beroperasi sepenuhnya tahun hadapan di bawah kelolaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Pengerusi Kebangsaan PBSM, Dato’ Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah berkata, kemudahan bernilai RM1.6 juta itu, kini menunggu Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Malah beliau berharap kemudahan itu dapat digunakan PBSM dari negara lain di rantau Asia Pasifik untuk membuat latihan sebagai persediaan menghadapi bencana di negara masing-masing.

- Advertisement -

“Sekolah itu akan menjadi lapangan atau kem di mana latihan persiapan bencana boleh diadakan bukan sahaja persatuan ini sahaja, tetapi agensi kerajaan dan institusi pendidikan.

“Ia merupakan pelaburan daripada Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) yang mahu pusat tersebut menjadi aset kepada persatuan di Malaysia dan Asia Pasifik,” katanya.

Beliau bertitah demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja kepada Ibu Pekabat PBSMM Negeri Kelantan di Rumah Amal Tengku Muhammad Faris Petra hari ini.

Kunjungan tersebut merupakan lawatan kerja pertama setelah dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan PBSMM 2018-2021.

Menurutnya juga lawatan terbabit diadakan untuk berjumpa dengan ahli dan jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah serta memperkemaskan lagi gerakan kerja peringkat akar umbi.

Beliau juga berkata, sokongan yang diberi sukarelawan dan pelajar sekolah merupakan nadi utama PBSMM.

PBSMM merupakan sebahagian ahli yang bernaung di bawah agensi antarabangsa, IFRC yang berpangkalan di Geneva, Switzerland. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -