Operasi semula PASTI sangat ditunggu banyak pihak

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: PASTI turut kembali beroperasi setelah dibenarkan kerajaan bagi semua prasekolah termasuk di negeri-negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 17 September lalu.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah berkata, kehadiran semula para murid PASTI sebaik operasi dibuka menunjukkan kepercayaan ibu bapa untuk institusi ini mengendalikan anak-anak mereka.

Pun begitu menurutnya, persiapan pihaknya untuk semua premis tersebut kembali dibuka telah bersiap sedia sejak awal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan pihak berkuasa.

- Advertisement -

“Semua premis PASTI perlu melaksanakan disinfeksi terlebih dahulu untuk memastikan kebersihan dan keselamatan (dari kes jangkitan). Selain itu, guru-guru juga telah lengkap divaksin, serta dipastikan sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai memberitahu disiplin yang diperketatkan dan mengharap ianya diikuti sama oleh semua pihak ketika membuat lawatan kerja ke PASTI Umar al-Khattab, Chenderawasih Kuantan, di sini semalam.

Seorang guru PASTI, Rahmah Ahmad memberitahu, pembukaan semula operasi itu sangat membantu proses pendidikan anak-anak tersebut setelah melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mencabar.

“Capaian internet kadang kala kurang memuaskan. Kekangan ibu bapa pula bekerja menyebabkan anak-anak tidak dapat menyertai kelas ‘online’

“Selain itu murid-murid kurang fokus, sukar untuk guru menilai prestasi. Ini berbeza dengan pembelajaran secara fizikal yang ada interaksi terus,” jelasnya.

Ketua Majlis Guru-guru PASTI Indera Mahkota, Fadhilah Hamid pula bagaimanapun menyifatkan PdPR telah membantu peningkatan kemahiran dari sudut penggunaan teknologi maklumat terkini.

Malah pujinya, guru-guru bertambah kreatif apabila berjaya mencipta alat bantu mengajar yang lebih menarik dan berharap semua itu meningkatkan lagi prestasi PASTI dalam persaingannya dengan prasekolah lain. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -