Kerjasama parti Melayu perlu dipertahan

- Advertisement -

Oleh AISHAH NUR

PERMATANG PAUH:
Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan menegaskan pentingnya kerjasama antara parti Melayu dipertahankan demi kepentingan ummah.

Beliau berkata, di negeri ini khususnya rakyat melihat akan pentingnya peranan PAS sebagai pembangkang dalam memastikan kepentingan mereka terpelihara dan kedaulatan agama dan negara terus dibela.

- Advertisement -

“Kita juga mahukan pelapis pemimpin untuk masa hadapan dapat dibentuk melalui wadah pemilihan kepimpinan di peringkat kawasan ini.

“Bagi meneruskan kerja-kerja dakwah dan kebajikan kepada masyarakat akan terus menjadi keutamaan PAS dalam usaha mendidik, membantu dan membina masyarakat ke arah Islam yang syumul,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan kali ke-44 secara hibrid di sini, Ahad lalu.

Omar berkata, setiap ahli mesti menggalas tanggungjawab sebagai ejen untuk menyampai dan menyebarkan risalah PAS serta mempamerkan akhlak dan keperibadian yang baik kepada semua lapisan masyarakat agar PAS dapat difahami dan diterima.

Dalam usul perwakilan PAS cawangan ingin meletakkan calon untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh, beliau meletakkan kepercayaan dan kepatuhan kepada keputusan kepimpinan pusat.

Justeru, beliau menyeru jentera parti agar sentiasa bersiap siaga serta terus meneliti setiap strategi dan perancangan dalam menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

Pada mesyuarat itu, belia kekal sebagai Yang Dipertua PAS kawasan tanpa bertanding, manakala timbalan dan naib disandang Amir Hamzah Md Hashim dan Mohd Asre Jusoh. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -