Calon bersih, integriti jadi taruhan di PRN Melaka

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

WALAUPUN
sebelum ini ada rungutan rakyat ketika Melaka di bawah Pakatan Harapan (PH) dan DAP selama 22 bulan, namun itu belum cukup kuat untuk mengajak pengundi Melayu memilih calon Melayu sama ada daripada BN atau PN kali ini.

Suasana sekarang sangat berbeza berbanding zaman sebelum ini, selepas berlaku peristiwa jatuhnya kerajaan BN yang memerintah Malaysia sejak merdeka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebelum era itu memang wujud prinsip status quo dalam corak pengundian oleh rakyat Malaysia terutama dalam kalangan pengundi Melayu. Pada masa itu ramai yang mengundi untuk mengekalkan apa yang ada kerana bimbang kemungkinan berlaku huru-hara jika berlaku perubahan kerajaan.

- Advertisement -

Sungguhpun begitu, perubahan kerajaan pada PRU14 membuktikan tiada huru-hara berlaku.

Namun malangnya sepanjang pemerintahan PH banyak melakukan tindakan yang melukakan hati orang Melayu. Itu yang mereka marah.

Pada PRN Melaka kali ini rakyat sudah berada dalam satu fasa, di mana mereka tahu kuasa dan hak mereka untuk menukar kerajaan tanpa rasa pelik atau serba salah.

Semenjak PH ‘mengencing’ rakyat dengan mengkhianati manifesto mereka sendiri, rakyat akhirnya kurang lagi percaya dengan janji PH.

Oleh kerana tidak wujud lagi mana-mana parti yang memiliki kelebihan status quo, penulis melihat faktor calon akan memberikan kelebihan utama kepada sesebuah parti politik yang akan bertanding.

Rakyat dilihat mahu calon-calon yang bersih di samping tahap kecaknaan mereka. Calon-calon yang bersih bukan sahaja perlu disahkan bersih, namun mereka juga perlu ‘dilihat bersih’.

Kita boleh kata seseorang calon itu bersih dengan hanya menyatakan bahawa dia tidak pernah didakwa atau dia telah didapati tidak bersalah oleh mahkamah sekali pun. Namun persepsi sebenar rakyat terhadap seseorang calon sebenarnya lebih memainkan peranan.

Selain itu seseorang yang dilihat memiliki kekayaan luar biasa selepas menjadi orang politik mewakili parti pemerintah, mempunyai potensi untuk dipandang rakyat sebagai sebagai koruptor.

Walaupun mungkin dia tidak korup, tetapi dia akan ‘dilihat korup’ dan tidak bersih’ oleh rakyat. Ini persepsi yang sukar dielakkan.

Dibimbangi frasa ‘mempertahankan politik Melayu’ sudah tidak laku lagi kepada pengundi Melayu. Takut-takut nanti orang Melayu sudah bosan dan mereka akan kata “DAP pun DAPlah! Bosan dengan perangai segelintir pemimpin Melayu!”. Jangan pula sampai ke peringkat itu!

Rakyat sekarang bukan lagi bodoh. Jadi, BN dan PN perlu mempastikan calon-calon kali ini adalah bersih dan dilihat bersih. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -