Arak jenama Timah sentuh sensitiviti umat Islam

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah mendesak kerajaan menyelesaikan segera isu arak jenama Timah seperti tular di media sosial kebelakangan ini.

Ketuanya, K Kumaresan berkata, kemunculan arak berjenama Timah mengundang pelbagai persepsi sehingga menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Ia mengundang kemarahan orang Islam kerana jenama itu merujuk kepada nama perempuan Melayu iaitu ringkas kepada Fatimah,” katanya pada kenyataan, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Baru-baru ini tular di media sosial arak buatan Malaysia diberi nama ‘Timah’ di mana di botolnya turut dipapar wajah seorang lelaki berjanggut dan seperti memakai kopiah.

Ekoran itu pelbagai pihak membantah termasuk Mufti Pulau Pinang Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, mahu kerajaan mengarah syarikat pengeluar minuman arak menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan.

Kumaresan juga DHPP Kedah memandang serius perkara itu dan berharap penyelesaian tuntas dilakukan segera.

“Kilang yang mengeluarkan arak terbabit perlu menukar nama arak tersebut kerana nama Timah sangat sensitif bagi orang Islam,” katanya.

Justeru itu katanya, umat Islam di Malaysia perlu menyatakan bantahan melalui saluran yang betul.

Beliau juga berharap kerajaan mengambil tindakan segera kerana dibimbangi ia boleh menggugat keharmonian kaum di Malaysia sekiranya isu terbabit berpanjangan. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

- Advertisement -