Usul PAS Sabah tanding PRU15 diterima sebulat suara

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sandakan Kali Ke 31, semalam telah mengusulkan agar PAS Negeri Sabah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diterima sebulat suara.

Usul itu sekali gus bagi PAS negeri meletakkan calon untuk memenangi kerusi parlimen dalam pilihan raya tersebut.

Usul tersebut yang dibawa oleh Ketua Pemuda PAS kawasan, Mohd Ramlan Pandi, telah memberikan beberapa justifikasi yang menyokong usul tersebut, antaranya menyedari hakikat bahawa PAS Sabah mempunyai kekuatan jentera yang kukuh.

Advertisement

“Menyedari PAS Sabah mempunyai ramai calon anak tempatan yang berintegriti tinggi, berpendidikan, berketrampilan dan bebas daripada amalan rasuah dan berakhlak mulia, justeru PAS sewajarnya bertanding dalam PRU tersebut,” hujahnya dalam mesyuarat yang diadakan secara hibrid itu.

Tambahnya, gerak kerja aktiviti kebajikan, pendidikan, dakwah, sukan anak muda, wanita dan sebagainya diterima positif oleh seluruh lapisan masyarakat termasuklah golongan bukan Islam.

“Selain itu keperluan PAS Sabah bertanding adalah sangat tinggi apabila terlaksananya undi-18 yang dilihat bakal melonjakkan kerusi Bumiputera Islam di Sabah sekaligus memerlukan penglibatan PAS sebagai parti dominan Bumiputera Islam di negeri ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, satu-satunya ADUN PAS Sabah yang dilantik pasca PRN lalu juga telah menunjukkan prestasi yang luar biasa apabila bekerja ke seluruh pelosok negeri menyantuni rakyat yang memerlukan yang terkenal dengan jolokan lawan kerja.

“Menyoroti Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, PAS Sabah telah menggerakkan jenteranya di seluruh negeri membantu calon-calon pembangkang yang bertanding atas semangat perpaduan dalam kalangan parti pembangkang ketika itu, sekali gus memberi kemenangan kepada gabungan yang kemudiannya dikenali sebagai GRS dalam PRN tersebut,” ujarnya.

Menyokong usul tersebut, Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Saifullah Abdul Rahman menyatakan bahawa penyertaan PAS dalam PRU15 menunjukkan semangat setiakawan dan pengorbanan yang perlu diberikan oleh parti-parti rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap PAS Sabah sepertimana yang telah dilakukan oleh parti itu semasa PRN yang lalu.

“PAS Sabah perlu diberikan ruang untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen bagi mewakili GRS,” tambahnya.

Perwakilan daripada Dewan Muslimat, Syafawani Ramlan yang turut menyokong usul itu dengan menegaskan bahawa PAS Sabah mempunyai jentera yang kukuh dan tersusun serta memiliki petugas yang berpengalaman, berkemahiran serta berkomitmen tinggi di semua peringkat Unit Daerah Mengundi, Dun sehingga peringkat parlimen.

“PAS Sabah juga dilihat telah diterima oleh masyarakat seluruh Sabah berbilang kaum apabila terlibat banyak misi kemanusiaan dan kebajikan diseluruh negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2021