PAS Perak perkasa agenda tarbiah

- Advertisement -

Oleh SYED SYAZWAN

IPOH:
Ahli-ahli dan pendukung PAS di Perak hendaklah sentiasa cakna dengan perkara-perkara yang berkaitan ibadah kerana ia menjadi tonggak bagi setiap individu Muslim.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata, tingkah laku tersebut mengutamakan hubungan dengan Allah Taala.

Katanya, pemerkasaan agenda tarbiah merupakan antara perkara penting bagi mempersiapkan rijal daulah yang berjiwa tarbiah.

- Advertisement -

“Tarbiah merupakan agenda terpenting yang perlu ditekankan semua pihak khususnya ahli PAS di Perak.

“Program tarbiah pula hendaklah seiring dengan perkembangan teknologi termasuk penggunaan telefon mudah alih.

“Aplikasi yang di bangunkan PAS Pusat memudahkan kita melaksanakan segala urusan berkaitan ibadah dan boleh dipantau Lajnah Tarbiah peringkat negeri atau kawasan,” katanya pada pelancaran MyMutabaah 2.0 baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Lajnah Tarbiah dan Pengkaderan PAS Perak, diadakan sempena Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perak kali ke-16.

Oleh itu Razman berharap ahli dan pendukung PAS hendaklah mengambil peluang menggunakan aplikasi tersebut yang boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.

Beliau yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, aplikasi tersebut dapat memantau ibadah wajib dan sunat yang dilaksanakan pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat.

Hadir sama pada program itu Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak Mustafa Shaari, Timbalan Pesuruhjaya 3 Muhammad Ismi Mat Taib dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Mohd Akmal Kamaruddin. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -