Minyak masak terpakai boleh dijadi biodiesel

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Minyak masak terpakai boleh dikumpulkan dan dikitar semula untuk dijadikan biodiesel, sebagai ganti bahan api fosil yang lebih mesra alam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif tersebut bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula minyak masak terpakai.

Katanya, kesedaran itu penting bagi menjayakan aspirasi negara bagi mencapai hasrat pelepasan sifar gas rumah kaca global serta menjaga kebersihan saliran dan sumber air negara.

- Advertisement -

“Dengan wujudnya jalinan kerjasama ini dalam pengurusan sisa minyak masak untuk dijadikan biodiesel, saya yakin pendekatan low emissions pathway, serta penggurangan pencemaran akan tercapai.

“Saya juga tertarik dengan slogan ‘banteras penggunaan semula minyak masak terpakai, sememangnya kita perlu tegas dalam hal ini dan kerjasama semua pihak bagi menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan pelancaran ‘projek eko-komuniti’ oleh syarikat Fathopes Energy di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian secara atas talian hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernei Fauzi, Pengetua SMK Kuang Kerian, Khairani Sabtu dan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy Sdn Bhd, Vinesh Sinha.

Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian merupakan institusi pendidikan pertama di Malaysia yang mengerakkan aspirasi kelestarian serta kebersihan alam sekitar.

Kerjasama yang dilakukan bersama FatHopes Energy dalam projek ‘eko-komuniti’ itu, direalisasikan menerusi pengumpulan serta mengitar semula minyak masa terpakai dijadikan biodiesel.

SMK Kubang Kerian dipilih menjadi sekolah contoh dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) FatHopes Energy bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kitar semula.

Sementara itu Khairani berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan minyak masa terpakai berasaskan sayuran daripada orang ramai dan premis perniagaan.

Menurutnya setiap titis minyak terpakai turut memberi sumbangan serta pulangan kepada institusi terbabit untuk membantu pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.

“Masyarakat boleh menghantar minyak masa yang telah digunakan ke tempat yang dikhaskan antara jam 4 petang hingga 7 malam dengan mematuhi sop yang telah ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -