Kerajaan benar rentas negeri bermula esok – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula esok.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Said pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen, sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, telah membuat keputusan di mana semua kegiatan rentas negeri dan daerah di seluruh Malaysia tidak dibenarkan tanpa kebenaran PDRM.

- Advertisement -

Katanya, larangan rentas negeri ini dibuat oleh kerajaan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, meskipun ia merupakan satu keputusan yang sukar kerana ada pasangan dan ibu bapa yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga dalam tempoh yang terlalu lama.

“Sepanjang larangan ini dikuatkuasa, kerajaan mendengar dan memahami keluhan Keluarga Malaysia yang terpaksa mengorbankan masa berharga bersama keluarga,” ujarnya.

Tambahnya, jika diimbau kembali, keputusan itu bukanlah sesuatu yang disukai rakyat.

Namun, katanya ia perlu dilaksanakan ketika itu bagi memastikan penularan wabak dapat dikekang berikutan peningkatan kes positif Covid-19 harian.

“Alhamdulillah, menurut KKM kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi Covid-19.

“Namun, saya ingin mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

“Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely,” ujarnya lagi.

Perdana Menteri berkata, jika hal itu diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 akan kembali meningkat.

“Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19,” tambahnya.

Sebagai contoh, kata beliau sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, Keluarga Malaysia disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

Beliau juga mengingatkan bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu perjalanan.

“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Katanya, kebenaran itu bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.

Menurut beliau, walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

Jleasnya, pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera. – HARAKAHDAILY 10/10/2021

- Advertisement -