Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
TANAH MERAH: Pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dijadikan panduan utama bagi Dato’ Che Abdullah Mat Nawi untuk memperkasakan sektor tersebut.
Di bawah kerajaan Perikatan Nasional, beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat dipilih bagi mengetuai salah satu agensi di bawah kementerian itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Menurut beliau, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara akan terus diperkasakan bagi bersama-sama hasrat kerajaan bagi menyediakan sumber makanan yang mencukupi kepada negara.
“Sektor pertanian ini adalah terlalu dekat dengan saya, pengalaman sebagai exco pertanian kerajaan negeri Kelantan, kemudian timbalan menteri, kini diberi peluang sebagai pengerusi LPP.
“Saya lebih berpeluang untuk turun ke bawah untuk memperkasakan lagi PPK seluruh negara kerana kita yakin mereka dapat membantu kerajaan dalam menyediakan sumber makanan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja terhadap projek korporat ternakan rusa yang dilaksanakan oleh PPK Tanah Merah di sini, hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu, Pengarah LPP Negeri Kelantan, Mohd Hanifa Awang Su dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Tanah Merah, Abdul Aziz Mamat.
Lawatan tersebut Che Abdullah turut mengumumkan pembaharuan terhadap PPK Tanah Merah yang mempunyai kira-kira 3,000 keahlian untuk mengembangkan lagi projek ternakan rusa.
Menurutnya, beliau akan terus mengadakan lawatan kerja ke PPK seluruh negara bagi bertemu serta menyelami masalah yang dihadapi warga peladang serta meningkatkan lagi hasil pendapatan.
“Jadi lawatan ini satunya untuk saya sendiri bagi mengenali dengan lebih dekat perjalanan PPK untuk saya fahami dan mendapatkan idea bagaimana ntuk meningkatkan lagi pendapatan PPK.
“Hari ini PPK Tanah Merah sebagaimana yang kita lihat, PPK ini antara PPK yang aktif meningkatkan pendapatan ahlinya dengan menjana keuntungan melalui penternakan dan perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2021