Warisan hormati keputusan ADUN Sindumin keluar parti

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menghormati tindakan dan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob untuk meninggalkan parti itu, hari ini.

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto S. Padua berkata langkah diambil Yusof untuk keluar daripada parti itu adalah hak peribadi dan terpulang kepada Yusof untuk berbuat demikian.

- Advertisement -

“Itu (tindakan keluar Warisan adalah) hak dan keputusan beliau (Yusof). Beliau sendiri juga menyatakan tiada konflik dengan parti mahupun Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal). Itu adalah langkah peribadi beliau,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Terdahulu, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan keluar parti itu untuk menjadi ADUN bebas dan menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini hanya memiliki 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas

Pilihan raya kecil DUN Bugaya masih belum diadakan berikutan perintah darurat yang dilaksanakan bagi kawasan itu.

Loretto berkata keahlian dan jawatan Yusof dalam Warisan secara automatik dilucutkan susulan pengumumannya keluar parti.

“Belum terima lagi (surat rasmi peletakan jawatan) tetapi difahami kerana beliau sudah membuat kenyataan (untuk keluar parti), justeru, secara automatik keahliannya dilucutkan,” katanya.

Dalam pada itu, Loretto berkata Warisan akan terus memperkukuh kedudukannya bukan sahaja di Sipitang tetapi juga di seluruh Sabah dengan merancakkan lagi gerak kerja dan aktiviti turun padang bertemu rakyat. – BERNAMA

- Advertisement -