Pesakit Covid-19 masuk hospital kerajaan Johor menurun

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Bilangan kemasukan pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) dan pesakit harian di hospital kerajaan di Johor telah menunjukkan trend penurunan sejak dua minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata bilangan kemasukan ke ICU menurun sebanyak 31 peratus kepada 66 orang setakat Selasa lepas berbanding 97 orang sebelum ini, sementara bilangan kemasukan harian menurun sebanyak 43 peratus kepada 127 orang berbanding sebelum ini sebanyak 223 orang.

- Advertisement -

“Penggunaan katil bukan ICU bagi Covid-19 di hospital kerajaan seluruh Johor juga menunjukkan pengurangan iaitu sebanyak 994 katil atau 41 peratus daripada 2,414 katil manakala penggunaan katil ICU Covid-19 hingga 5 Okt turut berkurangan sebanyak 66 katil atau 51 peratus daripada 130 katil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) pula, beliau berkata dua CAC di daerah ini iaitu Bukit Indah dan Pasir Gudang akan ditutup bermula Sabtu ini (9 Okt) dengan perkhidmatan CAC diteruskan di 13 klinik kesihatan yang ditetapkan di sekitar bandar raya ini.

Johor mencatatkan 1,105 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini berjumlah 201,939 dengan merekodkan 3,372 kematian.

Setakat semalam, Vidyananthan berkata sebanyak 150 kluster masih aktif di negeri ini dengan 104 kluster atau 69 peratus merupakan penularan dalam industri, 14 kluster (sembilan peratus) dalam komuniti, 25 kluster (17 peratus) dalam institusi, lima kluster (tiga peratus) di pasar raya dan masing-masing satu kluster (satu peratus) dalam tahanan dan import. – BERNAMA

- Advertisement -