PSR: Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah serik

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kerajaan Pulau Pinang dianggap tidak pernah serik apabila bercadang membuat semakan kehakiman Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail berkata, sepatutnya kerajaan negeri memberi tumpuan ke arah pembangunan mampan.

Katanya, cadangan untuk membuat rayuan projek PSR membuktikan kerajaan DAP tidak mahu memperbaiki komitmen terhadap matlamat pembangunan mampan.

Advertisement

“Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibuat kerajaan negeri antaranya mempertingkatkan industri eko-pelancongan dengan mempamerkan nelayan pantai sebagai warisan yang perlu dipertahan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada awal September lepas kerajaan Pulau Pinang mempertimbang untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membatalkan kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap projek PSR.

Sebelum ini kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR melibatkan keluasan kira-kira 2,600 hektar untuk mewujudkan tiga pulau buatan bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggarkan bernilai RM49 bilion.

Bagaimanapun projek mega itu ditentang pelbagai pihak termasuk nelayan tradisi, yang paling teruk terjejas.

Selain itu kerajaan Pulau Pinang juga bercadang membina jambatan ketiga bagi menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar sebagai menggantikan terowong dasar laut.

Projek ini bukan sahaja membazirkan duit rakyat, malah turut mengheret bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng ke mahkaman.

Zikrullah juga berkata, pelancong yang datang dari luar negara bukannya mahu melihat tambakan laut dan hutan-hutan batu pencakar langit sebaliknya menyaksikan keindahan alam semulajadi.

“Perkara yang lebih disukai adalah keunikan tradisi warisan Pulau Pinang yang boleh dilihat melalui kewujudan aktiviti nelayan pantai.

“Menerusi pendekatan tersebut, sekuriti makanan tempatan dan ekosistem alam sekitar juga dapat dipertahankan dan terpelihara,” ujarnya.

Di samping itu, katanya kemakmuran ekonomi negeri juga akan terbentuk melalui pemasaran hasil berasaskan warisan tempatan. – HARAKAHDAILY 7/10/2021