RMK-12: Komitmen neutral karbon tarik pelaburan asing

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050 berpotensi menarik pelaburan asing serta menunjukkan komitmen negara dalam menangani isu perubahan iklim, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata menerusi pelaburan rendah karbon dan teknologi hijau, ia dapat menyokong agenda pembangunan mampan sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab pelaburan hijau.

- Advertisement -

Katanya, komitmen itu juga menjadi hala tuju kerajaan serta pemegang taruh lain untuk mengintegrasi dan mengarus perdana isu perubahan iklim termasuk pelepasan gas rumah kaca (GHG) dalam rancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini menyatakan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.

Ismail Sabri berkata instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan manakala perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon dimuktamadkan pada akhir 2022.

Tuan Ibrahim berkata LT-LEDS menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi GHG bagi sektor ekonomi utama negara dan menjadi asas untuk menentukan hala tuju dan tahun sasaran net zero negara.

Net zero emissions merujuk kepada pengimbangan pelepasan dan penyerapan GHG. Ketika ini, Malaysia menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan GHG.

Beliau berkata antara sektor utama akan menyumbang kepada sasaran net zero emissions adalah sektor tenaga meliputi aktiviti pembekalan elektrik, pengangkutan, dan industri minyak dan gas asli; sektor industri pembuatan dan pemprosesan; sektor pertanian; sektor guna tanah dan sektor sisa seperti sisa pepejal, sisa kumbahan domestik dan sisa kumbahan industri. – BERNAMA

- Advertisement -