Guru kagum, terharu Jabatan Amal bersih sekolah

- Advertisement -

Oleh FADILAH NORDIN

KOTA KINABALU:
Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan pantai barat Sabah baru-baru ini turut memberi kesan besar kepada Sekolah Kebangsaan Rampayan, di sini.

Guru-guru menzahirkan rasa seronok dan semangat atas kegigihan serta keikhlasan anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah (JAMNS) dalam menyumbang tenaga membersihkan sekolah itu, Sabtu lepas.

- Advertisement -

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mariati Awad, selama dua hari anggota JAMNS berada di situ, pihaknya berasa kagum dengan keikhlasan mereka dalam membantu membersihkan sekolah.

“Sikap ini membuatkan kami juga turut berasa semangat dan sanggup menunggu sehingga mereka selesai bekerja sebagai tanda sokongan,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Kanan 1, Sitah Jinin turut menyatakan rasa terharu melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh JAMNS semasa proses pembersihan sekolah.

“Barisan pendidik sekolah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas segala sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh semua pihak yang terlibat termasuklah wakil PAS yang sudi datang membantu dalam misi banjir ini,” ujarnya lagi

Ketua JAMNS Kawasan Sepanggar, Hasruddin Samsudin sempat berseloroh dengan menyatakan bahawa kerja-kerja pembersihan sekolah biarlah diserahkan kepada anak muda dan para guru boleh terus menjalankan tugas mendidik anak-anak Sabah.

“Kerjasama daripada pihak bomba membantu semasa proses pembersihan turut memberikan semangat kepada kami dan membuatkan kami bersedia untuk terus membantu masyarakat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, anggota JAMNS berkampung selama dua hari di situ untuk misi #OpsCuci bermula hari Sabtu yang lepas sehingga semalam bagi melakukan pembersihan akibat banjir. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -