Guru tingkat kemahiran pelajar hadapi cabaran dunia

Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis Tahun 2021 yang diadakan secara hybrid, melalui siaran atas talian.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Senario baharu sistem pendidikan dunia yang lebih terbuka memerlukan golongan pendidik mempersiapkan pelajar dengan kemahiran bagi meneruskan kelangsungan hidup menghadapi cabaran dunia sekarang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah amalan sistem pendidikan kini membuka ruang kepada guru meneroka strategi dan teknik yang lebih menarik serta berkesan menerusi pelbagai pelantar pembelajaran.

- Advertisement -

“Namun, kaedah atau pedagogi yang digunakan dalam melaksanakan strategi pembelajaran tersebut bergantung kepada kreativiti serta pendekatan guru semasa menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis Tahun 2021 yang diadakan secara hybrid, melalui siaran atas talian malam tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man; Exco pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Rozieana Ahmad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Naharudeen Othman.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra juga langkah tersebut sekaligus membantu membentuk generasi digital yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan negara maju.

Baginda turut mengingatkan guru bahawa kejayaan mereka hari ini bertitik tolak daripada pendidikan yang pernah mereka terima.

Justeru baginda berharap agar pelajar turut beroleh kejayaan pada masa hadapan hasil daripada pendidikan yang baik.

Titah baginda juga bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru’ guru-guru harus berkemampuan mendepani pelbagai cabaran dan mempunyai kekuatan rohani yang utuh.

“Di samping itu, guru juga perlu menguasai ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam menerokai dunia tanpa sempadan.

“Sebagai seorang pendidik, menjadi keutamaan untuk sentiasa mewujudkan landasan pendidikan yang berkualiti sesuai dengan transformasi dan inovasi semasa.

“Situasi ini memerlukan guru sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki serta sentiasa meletakkan teras mentaliti kelas pertama dalam apa jua tindakan,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -