Mosti peruntuk RM60 juta penyelidikan vaksin Covid-19

- Advertisement -

BACHOK: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memperuntukkan lebih RM60 juta bagi projek Penyelidikan dan Pembangunan vaksin Covid-19 dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang.

Timbalan Menterinya, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, inisiatif itu merupakan komitmen kerajaan bagi menghasilkan pengeluaran vaksin tempatan, tanpa bergantung bekalan luar negara.

“Ini merupakan antara perkara awal yang disebut perdana menteri, Mosti ditugaskan untuk membangunkan vaksin sendiri, bukan lagi bergantung pembelian dari negara luar.

- Advertisement -

“Kita memperuntukkan sebanyak RM54 juta untuk Institut Genome Malaysia (MGI), RM2.5 juta pembangunan vaksin di Universiti Malaya dan RM2.5 juta lagi di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas perasmian Program Mobilisasi Vaksin Komuniti Dewan Undangan Negeri (Dun) Tawang di Pantai Senok di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood dan Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin.

Amzad berkata, kerajaan juga berharap Malaysia bakal menjadi pengeluar dan pengeksport vaksin pada masa depan kerana pasaran vaksin dalam kalangan negara Islam sangat besar.

Sehubungan itu katanya, hasrat tersebut dilakukan dengan penglibatan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Inilah menjadi cita-cita kita pada masa depan untuk menjadi sebahagian pengeluar dan pengeksport kerana pasaran dan manfaat vaksin Covid-19 bagi negara-negara Islam besar.

“Langkah ini turut menglibatkan agensi kerajaan, NPRA dan Jakim bagi memberi manfaat lebih besar serta menyakinkan kemampuan kita menghasilkan vaksin dalam kalangan negara Islam,” katanya.

Kajian itu melibatkan pembangunan vaksin menggunakan teknologi Messenger Acid Ribonukleik (mRNA) di UM dan teknologi virus yang dinyahaktifkan oleh pengkaji di UPM.

Selain itu proses pembangunan vaksin itu turut melibatkan diplomasi sains dengan negara luar termasuk kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn Thailand bagi pembangunan vaksin mRNA. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -