Pos Gob bakal dijadikan lokasi pelancongan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

GUA MUSANG: Kerajaan komited membangunkan kawasan penempatan Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang sebagai lokasi pelancongan mulai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, pendekatan secara holistik itu dilihat akan memberi faedah kepada masyarakat setempat selain ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memajukan masyarakat Orang Asli.

- Advertisement -

Oleh itu katanya, kerajaan mengambil pendekatan secara holistik bagi memajukan ekonomi orang Asli di seluruh negara terutama melibatkan pendidikan, kesihatan dan program-program pembangunan ekonomi.

“Kita memandang serius hal-hal berkaitan dengan masalah yang dihadapi Orang Asli khususnya bagi menangani isu kemiskinan kerana kadar kemiskinan Orang Asli amat tinggi. Ini menjadi tumpuan kita untuk membasmi kemiskinan, malah ia merupakan agenda penting kerajaan untuk diberi perhatian.

“Selain itu, ia juga satu pendekatan komprehensif untuk memajukan ekonomi Orang Asli terutama pendidikan. Ini kerana pendidikan merupakan satu perkara asas, kalau kita perbetulkan aspek berkenaan, ekonomi Orang Asli akan bertambah baik.

“InsyaAllah, selepas pandemik Covid-19 beransur pulih menjelang awal tahun depan, kita mahu Pos Gob dimajukan sebagai tempat pelancongan, memandangkan di sini juga ada beberapa chalet yang hanya perlu dibaik pulih untuk dijadikan tarikan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian, kepada pemberita selepas lawatan kerja pada Program Vaksinasi Covid-19 Orang Asli di Pos Gob di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, penempatan Orang Asli di Pos Gob dilihat berpotensi untuk dimajukan susulan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan kaji selidik aspek ekonomi membabitkan kawasan berkenaan pada 2017.

“Melalui kajian yang dilakukan itu, mereka melihat kawasan ini dapat dimajukan di mana persekitarannya ecotourism mempunyai hutan, sungai, gua yang menarik.

“Malah, di Pos Gob juga diwujudkan satu model bagi membangunkan masyarakat Orang Asli membabitkan kerjasama antara UKM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta CIMB Bank dan ia dilihat memberi impak yang positif,” katanya.

Mustaph (berkemeja putih) hadir pada Program Vaksinasi Covid-19 Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan hari ini.

Menurut beliau lagi, model perkongsian pintar antara tiga pihak iaitu JAKOA, swasta dan UKM akan digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memastikan sumber-sumber daripada Orang Asli dapat dipelbagaikan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan model itu boleh diguna pakai dalam RMK-12 bagi membangunkan beberapa perkampungan Orang Asli, selain beberapa kawasan di Tapah, Perak bagi tujuan pelancongan.

Sementara itu ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau menyambut baik rancangan kerajaan memajukan  penempatan Orang Asli di Pos Gob memandangkan kawasan berkenaan mempunyai potensi sangat besar.

“Ini kerana kawasan alam semulajadi di Pos Gob yang belum terusik khususnya mempunyai air terjun antara yang tercantik, selain ia bersesuaian untuk peminat pacuan empat roda (4X4)  melakukan aktiviti di sini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -