‘Keluarga Malaysia’ bawa keadilan kepada semua kaum

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Konsep ‘Keluarga Malaysia’ bukan sahaja membawa keadilan kepada umat Islam tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Ustaz Idris Ahmad berkata, keadilan yang dibawakan dalam Keluarga Malaysia berdasarkan Islam menekankan agar memberi keadilan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama kerana Islam mementingkan hak pembelaan kepada seluruh umat manusia. 

- Advertisement -

Menurutnya, keadilan merupakan perkara yang paling penting dalam Islam kerana agama suci ini menuntut agar umatnya berlaku adil dan saksama kepada setiap orang dan membela mereka yang miskin tanpa mengira warna kulit.

Ini kerana setiap daripada manusia akan dipersoal di hari akhirat kelak apabila diberi tanggungjawab menjadi pemimpin, bukan sahaja perlu membela golongan yang terdekat tetapi membela sesiapa sahaja yang memerlukan perhatian dan pembelaan.

“Baru-baru ini, saya turun memberikan bantuan kepada 130 orang penduduk kampung  Cina yang dilanda banjir, kerana ini adalah ajaran Islam yang mengajar kita bahawa kita mesti membantu orang yang ditimpa musibah kerana keadilan mesti diberi kepada mereka, meskipun mereka bukan sebangsa dengan kita,” ujar beliau dalam Bicara Harakah: Keluarga Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung melalui Facebook HarakahDaily baru-baru ini. 

Selain menampilkan Idris sebagai Ahli Panel 1, Bicara Harakah kali ini turut menampilkan Ahli Panel 2, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan serta Haznizul Shukery selaku moderator.

Tambah beliau, keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Justeru, kita perlu membela sesiapa sahaja walaupun individu tersebut merupakan bukan Islam.

“Allah S.W.T berfirman dalam surah Al Ma’idah ayat 8 yang bermaksud, ‘berlaku adil lah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa’.

“Ini menjelaskan bahawa keadilan dalam Islam mencakupi semua aspek meliputi sosial, undang-undang, politik budaya dan ekonomi. Keadilan Islam juga bersifat sejagat bukan hanya untuk orang Islam semata-mata tetapi meliputi seluruh manusia tanpa mengira keturunan, warna kulit dan agama,” katanya lagi.

Di samping itu kata beliau, keunikan Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama ini jelas menggambarkan  tanda-tanda  kekuasaan Allah S.W.T.  

“Dalam memikirkan tentang perkara ini, kita meletakkan asas-asas yang sudah diajar oleh agama kita tentang kesejagatan. Islam merupakan satu rahmat kepada semua orang yang memberi kesejahteraan, keamanan dan kedamaian dalam hidup kita.

“Sehubungan itu, konsep Keluarga Malaysia ini dibina berpaksikan kepada nilai-nilai universal yang terdapat dalam ajaran agama Islam, dan kita yakin dan percaya ia akan diterima semua kaum dan bangsa dalam negara kita ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -