Pusat diminta beri perhatian pembangunan di Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keseimbangan pembangunan wilayah-wilayah perlu menjadi teras utama diberi perhatian oleh kerajaan dalam mengurangkan kesenjangan antara wilayah di seluruh negara khususnya melibatkan negeri-negeri miskin.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkata, jurang antara wilayah-wilayah masih berlaku walaupun kerajaan lalu juga ada membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 pada tahun 2018.

Malah katanya, ketidakseimbangan pembangunan ini juga telah dijadikan perhatian utama dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan Rancangan Malaysia Ke-12 akan menjadi lonjakan awal terhadapnya.

Beliau mengulangi senarai projek disebut Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pada ucapan sebelumnya mengenai keperluan rakyat Kelantan, namun masih belum dijayakan walaupun telah beberapa kali dibentangkan di Parlimen dan diluluskan.

Dato’ Che Abdullah memetik beberapa laporan berita yang menjadi tular dan perhatian netizen, khususnya berkaitan nasib penduduk Teluk Renjuna Tumpat di mana berdepan pelbagai kesukaran hidup kerana ketiadaan jambatan di situ.

Ceritanya, perkampungan pulau itu kerana menghadapi pasang surut air sungai secara harian telah menyebabkan sering terjadi hal-hal yang mengganggu rutin kehidupan mereka termasuk terkini terputus bekalan makanan selama tiga hari.

Menurut beliau, hal itu telah dikemukakannya kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan sebagainya untuk diberi kemudahan jambatan yang menghubungkan penduduk dengan tanah besar.

“Masalah oleh penduduk di sini adalah merupakan yang dihadapi mereka secara harian. Baik yang menghadapi masalah kecemasan, masalah pelajar-pelajar yang tidak dapat menghadiri peperiksaan kerana air cetek, masalah tidak dapat merentasi sungai
kerana airnya pasang dan sebagainya.

“Ini adalah merupakan masalah harian yang berlaku di Tumpat, bukannya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan saya mengharapkan diberi perhatian oleh kerajaan hari ini,” ujarnya membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini kelmarin dahulu.

Turut digesa beliau adalah Projek Pembangunan Bersepadu Lembangan Sungai Golok Fasa 1 melibatkan jajaran Tumpat dan Pasir Mas yang mesti diteruskan ke Fasa 2 dan 3 bagi mengatasi masalah banjir dihadapi daerah-daerah tersebut.

Malah, Dato’ Che Abdullah yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan menyentuh mengenai kawalan sempadan negara di mana Tumpat adalah daerah sempadan dengan Thailand yang mesti diberi perhatian terhadapnya.

“Sesungguhnya kegagalan mengawal sempadan ini bukan sahaja menatijahkan masalah yang berlaku di kawasan sempadan itu, tetapi juga di kawasan-kawasan lain dalam negara.

“Daripada segi infrastrukturnya, daripada segi personelnya, daripada segi peralatannya mestilah mencukupi untuk memastikan keselamatan sempadan negara dapat dikawal sebaiknya,” ujar beliau.

Kerajaan gagal?

Terdahulu dalam perbahasan tersebut, beliau menyangkal tohmahan dilemparkan pembangkang bahawa negara telah gagal semasa di bawah pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bidasnya, pihak tersebut sekadar menangguk di air keruh sekali gus menjelaskan sikap mereka sendiri yang sebenarnya telah gagal memimpin negara walaupun diberi peluang memerintah untuk tempoh 22 bulan.

“Bagaimana mereka dengan yakin bercakap soal kegagalan PN dalam kerajaan masih bertungkus-lumus menyingsing lengan dengan segala kudrat membawa negara ini keluar daripada pandemik seperti yang kita lihat pada hari ini.

“Sebenarnya pihak yang sama juga pernah mendakwa negara diambang kebankrapan satu ketika dahulu dengan dakwaan hutang negara sudah mencecah lebih RM1 trilion seterusnya ia dicanangkan ke seluruh dunia.

“Namun apabila Perikatan Nasional memerintah, tidak timbul meskipun kerajaan berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menghimpit sistem kesihatan global dan negara malah juga memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara.

“Bahkan dalam masa setahun lebih ini, rakyat terus dibantu dengan lapan pakej survival bermula dengan pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA dan PEMULIH. Pakej bantuan ini keseluruhannya bernilai RM 305 bilion atau 22.7 peratus daripada KDNK.

“Ditambah lagi dengan Belanjawan 2021 yang mengetengahkan pengembangan belanjawan fiskal bernilai RM 322.5 bilion sedangkan rakyat terutamanya orang Islam tidak lagi dalam suasana kebimbangan aset-aset berkepentingan mereka berisiko dijual bagi menampung kekurangan dalam masalah kewangan ini.

“Malah bantuan tunai diteruskan kepada rakyat melalui PPN, BPR dan BKC yang terkini. Malah, ia juga menjadi sejarah apabila kerajaan juga mula melihat survival bantuan tunai kepada golongan M40 yang berhadapan dengan pandemik,” hujah beliau.

Ini bentangnya, termasuklah bantuan kepada golongan Perusahaan Kecil Sederhana yang menjadi tunjang sektor ekonomi negara, selain golongan rentan menerusi Program Subsidi Upah, moratorium, pengeluaran KWSP dan sebagainya.

Tegasnya, itulah lambang keprihatinan kerajaan yang wajar diteruskan pada masa endemik kelak dan menyimpulkan bahawa Kerajaan PN merupakan kerajaan yang berjaya, bukannya gagal seperti mana ditohmahkan.

Dato’ Che Abdullah menyelesaikan tempoh ucapannya disudahi dengan pantun yang menggunakan pembayang digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Ucapan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Persidangan, Isnin lalu.

Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang,
Hebat tuanku gigih berbakti,
Rakyat jelata bertambahlah sayang.

Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah,
Patik akan bekerja sepenuh hati,
Tanpa mengenal penat dan lelah.

Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli,
Sumpah setia ketaatan diberi,
Ke hadapan tuanku patik berjanji.
HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -
- Advertisement -