Usah jadi parlimen hanya sekadar gelanggang politik

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Persidangan Parlimen yang akan berlangsung bermula esok diharap tidak dijadikan sebagai gelanggang politik semata-mata sehingga mengenepikan agenda bagi kepentingan rakyat.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi, ahli Parlimen perlu menumpukan perhatian khususnya isu memulihkan ekonomi negara.

- Advertisement -

Katanya, persidangan kali ini juga akan diadakan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan Negara 2022.

“Untuk itu kita berharap semua ahli Parlimen mengambil bahagian berbahas untuk membina semula negara.

“Berbahaslah dengan cara yang baik demi negara, ekonomi dan rakyat,”ujarnya kepada media selepas hadir majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Tambahan Pemulih di Pusat Pengurusan Kawasan Industri Mara, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Oeh itu beliau berharap persidangan kali ini berjalan dengan baik dan sebagaimana sewajarnya untuk meluluskan bajet atau rang undang-undang yang bakal dibentangkan.

“Parlimen bukan tempat untuk jadi medan tikam-menikam bagi kepentingan politik sehingga langsung tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut berharap, Parlimen dapat berfungsi sebagaimana biasa sehingga dapat membawa negara keluar dari pandemik Covid-19.

Menurutnya sesi ini banyak usul yang akan dibentangkan dan diundi berkaitan RMK-12.

Kata beliau RMK-12 sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi di negara ini dan diharap dapat dibahas dengan sopan dan sebelum diluluskan untuk manfaat rakyat. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -