Sayu hati dengar cerita mereka diuji tragedi kepala air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyatakan rasa sayu hati mendengar cerita mereka yang telah diuji dengan tragedi kepala air di Yan, baru-baru ini.

Justeru, beliau berharap semoga mereka sabar dengan ujian yang melanda dan diberikan ganjaran pahala asbab kesabaran.

“Sebelum ini, hanya lihat video kejadian sahaja. Hari ini berada di tempat kejadian, menyampaikan sumbangan dan bertanya khabar mangsa-mangsa bencana,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Lawatan kerja beliau di Yan, Kedah bermula dengan taklimat tentang tragedi itu di Yan Chalet sebelum ke Masjid Jami’e Ruat.

“Alhamdulillah, RM516,600 Sumbangan Musaadah Banjir telah disampaikan hari ini kepada keluarga, persatuan penduduk, masjid-masjid, surau-surau, dan sekolah-sekolah yang terlibat dengan bencana banjir kepala air di Yan,” ujarnya lagi.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan daripada JAKIM, YaPIEM, YADIM, Yayasan Waqaf Malaysia dan MAIWP itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang mereka hadapi.

Dalam pada itu, Idris mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada lebih 3,000 sukarelawan yang terlibat untuk membantu kerja-kerja pembersihan di samping bantuan kewangan, makanan dan sebagainya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah, Ketua Pengarah YaPIEM, Mohd Ridzal Mohd Sheriff dan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasaruddin Hassan. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -