Parlimen Malaysia bakal saksikan lebih banyak transformasi

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia yang menginjak usia 62 tahun hari ini bakal melalui transformasi, sekali gus mengangkat martabat dan kedudukannya sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi negara.

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan menjelang ulang tahun Parlimen Malaysia ibarat ‘hadiah’ kepada negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran krisis kesihatan wabak Covid-19.

Advertisement

Menyifatkan tawaran transformasi itu mampu memberi impak positif landskap politik negara, penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia berkata ia akan menyuburkan lagi sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. 

“Ia akan memberikan impak positif, bukan sahaja ke atas reformasi Parlimen, tetapi bagaimana reformasi Parlimen itu juga membawa kepada reformasi politik negara,” katanya.

Tujuh perkara dikemukakan bagi melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat inklusif apabila melibatkan ahli parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan, manakala Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan setara seorang menteri.

Menyingkap sejarah, persidangan pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Alharhum Tuanku Muhammad pada 11 Sept 1959 di Dewan Tuanku Abdul Rahman, kini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Pada usia lebih separuh abad, Parlimen Malaysia seharusnya lebih matang dan kesungguhan melakukan transformasi dalam memastikan ia setanding dengan Parlimen Komanwel atau di negara-negara maju amat diperlukan.

Sivamurugan berpandangan bahawa telah tiba masanya Parlimen sebagai badan penggubal undang-undang mempamerkan ahli-ahli dewan yang matang dan berhujah secara berhemah.

Beliau berkata Parlimen Malaysia perlu mempunyai jawatankuasa tatatertib atau digubal satu kod etika untuk Ahli Parlimen bagi memastikan mereka tidak bertindak keterlaluan termasuk menggunakan kata-kata kesat dan berbaur penghinaan.

Pandangan berkenaan disokong Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya bahawa Ahli Parlimen mesti bersikap bijaksana dan matang agar masyarakat tidak hilang rasa hormat terhadap institusi Parlimen.

Beliau berharap lebih banyak perubahan menyaksikan kerjasama kerajaan dan pembangkang dalam Parlimen demi kepentingan dan manfaat rakyat, selain bagi maksud semak dan imbang yang telus dan berfungsi dengan baik

“Sebarang perubahan yang melibatkan komitmen kerajaan dan pembangkang perlu dipercepatkan dan dilakukan dengan telus agar terus mendapat kepercayaan masyarakat,” katanya.

Pada 7 Sept, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan komitmen bagi melaksanakan transformasi antaranya menghidupkan atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen selaras dengan apa yang dilakukan Parlimen lain di peringkat antarabangsa.

Menerusi akta itu, ia menyaksikan autonomi Parlimen dalam aspek pentadbiran institusi, hal ehwal melantik kakitangan berkhidmat di Parlimen serta aspek kewangan Parlimen dapat ditentukan oleh Parlimen sendiri, terpisah daripada penentuan oleh pihak eksekutif.

Selain itu, turut dicadangkan mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) dan perbincangan mengenai pindaan terhadap Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada.

Sebelum ini, usaha transformasi Parlimen telah dilakukan termasuklah memperkenalkan Kamar Khas, Waktu Pertanyaan Menteri, memendekkan notis bagi mengemukakan soalan yang memerlukan jawapan lisan kepada 10 hari berbanding 14 hari ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional pada 2015.

Kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 melaksanakan beberapa reformasi institusi Parlimen seperti penubuhan 11 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mengawal selia dan sebagai semak dan imbang terhadap pelaksanaan dasar setiap kementerian.

Antara jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan. Turut ditubuhkan ialah Kaukus Reformasi Parlimen dan Tadbir Urus untuk menaik taraf dan memperbaiki institusi Parlimen sebagai mekanisme semak imbang yang efektif.

Selain itu, Ahli Parlimen pembangkang turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan amalan itu masih dikekalkan kerajaan hari ini. – BERNAMA