20 Tahun peristiwa 9/11: Ke mana hala tuju US selepas ini?

- Advertisement -

11 SEPTEMBER 2021, genap 20 tahun peristiwa hitam yang merubah landskap geopolitik dunia khususnya apabila Amerika Syarikat mengisytiharkan kempen “War on Terrorism” atau Perang Menentang Keganasan sejurus selepas berlaku peristiwa serangan ke atas World Trade Center, New York pada 9.11.2001.

- Advertisement -

George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat ketika itu secara langsung menuduh Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda yang diketuainya bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Selepas melancarkan kempen menentang keganasan, George W. Bush menyasarkan tindakbalasnya terhadap Osama bin Laden, Al-Qaeda, kumpulan-kumpulan jihadis dan negara-negara yang menyokongnya.

Amerika Syarikat tidak mengambil masa yang lama untuk bertindabalas. Sebulan selepas kejadian 9/11, serangan ke atas Afghanistan dilancarkan yang menjadi negara persembunyian Osama bin Laden dengan perlindungan dari Taliban yang memerintah Afghanistan pada ketika itu.

George W Bush

Akhirnya Kabul jatuh ke tangan Amerika Syarikat dan sekutunya. Ianya begitu mudah sekali kerana apalah sangat kekuatan yang ada kepada Taliban yang memerintah Afghanistan ketika itu, antara negara yang paling miskin dan terkebelakang di dunia berbanding dengan kekuatan Amerika Syarikat yang merupakan negara yang terkuat di dunia samada dari sudut ketenteraan, ekonomi dan teknologi.

Namun begitu, Taliban terus menghantui Amerika Syarikat walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeeda dihancurkan. Perang di Afghanistan menjadi perang paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat dan pada ketika ini Amerika Syarikat secara rasmi telah berundur dari Afghanistan yang disifatkan sebagai kekalahan paling memalukan dalam sejarah negara tersebut.

Osama bin Laden

Setelah itu, Iraq pula diserang dengan alasan kononnya Osama bin Laden mempunyai hubungan dengan Saddam Hussein bagi mengancam keselamatan Amerika Syarikat dengan menghasilkan apa yang disebut sebagai “Weapon of Mass Destruction“ ( WMD ) yang mana akhirnya terbukti dakwaan ini adalah bohong sama sekali.

Seluruh dunia mempercayainya dan mula memencilkan Iraq. Namun apakan daya, arang sudah menjadi abu, Iraq dibantai dalam kempen serangan yang bermula pada 21 Mac 2003 sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa dan sehingga ke hari ini, Iraq masih lagi bergelut dengan konflik berdarah yang tidak berkesudahan.

Apa yang lebih penting ialah landskap politik dunia telah berubah. Perang menentang keganasan akhirnya bertukar menjadi perang menentang Islam disebabkan Osama bin Laden adalah seorang Muslim. Seluruh Dunia Islam dan umat Islam menghadapi ancaman dan serangan dari setiap sudut sehingga ke hari ini.

Adakah ianya berlaku dengan sengaja atau tidak, masing-masing mempunya penilaian dan jawapannya yang tersendiri. Apa yang pasti sejak daripada itu telah berkembangnya kebencian terhadap Islam sedikit demi sedikit sehingga lahirnya fenomena Islamofobia yang melanda masyarakat dunia.

Islam dituduh menjadi punca kepada keganasan. Ini terbukti daripada respon pemimpin-pemimpin Barat samada dari kelompok ahli politik, ahli agama, ahli perniagaan, golongan professional sehinggalah kepada kelompok-kelompok lain yang berpengaruh dalam masyarakat yang menyerang Islam dari setiap sudut.

Antaranya ialah kenyataan Pope Benedict ke 16 yang menuduh Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam dengan menggunakan pedang. Begitu juga karikatur-karikatur Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengambarkan baginda adalah seorang penganas.

Kebencian terhadap Islam terus memuncak dengan kenyataan-kenyataan dari pemimpin-pemimpin politik Barat yang bersikap prejudis terhadap Islam seperti sikap dan prejudis daripada Donald Trump, Tony Blair, Emmanuel Macron dan lain-lain lagi yang berterusan mengaitkan keganasan dengan Islam.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara-negara Barat yang kononnya menjadi mangsa kepada pengganas-pengganas yang anti kepada kebebasan dan demokrasi bahkan ianya juga merebak ke seluruh pelusuk dunia termasuk di kalangan negara Dunia Islam sendiri.

Maka di atas slogan perang menentang keganasan, regim zionis Israel menjadikannya sebagai alasan untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam seperti HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Begitu juga negara-negara Arab yang diperintah secara diktatorship mengambil peluang ini untuk mengharam dan menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam sederhana yang mengambil pendekatan demokrasi pilihanraya seperti gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir.

Bahkan lebih dari itu lagi, ia mengjangkaui tindakan-tindakan oleh sesetengah negara-negara Islam yang tidak membenarkan ayat-ayat Al-Quran yang berkait dengan peperangan dan kejahatan Yahudi diajar kepada pelajar-pelajar dengan alasan ia boleh merosak pemikiran mereka dan menggalakkan mereka untuk menjadi pengganas.

Akibat dari kempen jahat ini, ratusan ribu nyawa umat Islam yang tidak ada apa-apa kaitan dengan peristiwa 9/11 terkorban, cedera, dipenjara dan hilang tempat tinggal. Akibat dari kempen jahat ini juga, negara-negara yang menyokong keganasan bermaharajalela melakukan keganasan di atas alasan menentang keganasan.

Persoalannya, adakah umat Islam sahaja yang dilabel sebagai pengganas? Bagaimana pula keadaannya dengan pengganas dari kalangan penganut agama Yahudi, Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain lagi yang melakukan keganasan ke atas umat Islam ?

Adakah pertubuhan-pertubuhan kecil sahaja yang dilabel sebagai pengganas sedangkan negara-negara yang melakukan keganasan dan menyokong keganasan dibiarkan bebas bermaharajalela seperti negara haram Israel yang secara terang-terangan mengganas di Palestin namun dibiarkan begitu sahaja oleh dunia barat.

Road Map baru Barat

Setelah 20 tahun “ Perang Menentang Keganasan “ dilancarkan, Amerika Syarikat dan Barat sudah mula beralih arah kepada ancaman-ancaman yang memakan dirinya sendiri akibat kebencian yang melulu terhadap Islam.

Keganasan di Amerika Syarikat sendiri sudah menjadi semakin parah akibat daripada kebangkitan golongan ekstrimis kaum kulit putih dan juga kumpulan Neo Nazi yang sebelum ini menghantui kebanyakan negara-negara Eropah. Kumpulan-kumpulan ekstrimis ini seperti Proud Boys, The Boogaloo Boys dan beberapa kumpulan ektrimis kulit putih Iagi tindakannya sudah umpama bom jangka yang bakal menghancurkan tamadun Barat.

Namun sebenarnya ketika ini juga, Amerika Syarikat dan dunia barat berada di dalam dilemma dan kegusaran kerana konsep keganasan Islam yang “ dijual “ mereka kepada seluruh dunia semakin basi dan tidak diterima oleh rakyat mereka sendiri. Agama Islam di Amerika Syarikat dan Eropah menjadi agama yang paling cepat tersebar di kalangan rakyat mereka yang sudah muak dengan permainan jahat media Barat yang memomokkan Islam dengan pelbagai tuduhan jahat dan palsu.

Dalam masa yang sama Amerika Syarikat sudah mula beralih arah untuk menghadapi China dengan mengumpulkan sekutu-sekutunya dengan segala kekuatan yang ada. Dunia barat nampaknya tidak belajar melalui kesilapan-kesilapan lampau apabila menganggap Islam adalah musuh walhal tamadun Islam yang menjadi faktor utama kemajuan Barat pada hari ini hasil kemajuan tamadun Islam di Sepanyol dan lain-lain lagi.

Kegagalan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam perang menentang keganasan seharusnya menjadi iktibar kepada Amerika Syarikat dan Dunia Barat bagi menghadapi China ataupun sekutunya seperti Rusia. Sekatan, tekanan dan kepungan ke atas China dan sekutunya tidak akan menjadikan China lemah dan tunduk kepada Amerika Syarikat tetapi akan menjadikan China bertambah kuat dan lebih efektif dalam menghadapi Amerika Syarikat dan sekutunya.

Nampaknya pada ketika ini, keterujaan Amerika Syarikat dan sekutunya dari dunia barat terhadap Islam telah mula hilang. Pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan dan kemudiaannya Iraq tidak lama lagi menandakan berakhirlah keterujaan barat terhadap Islam.

Dunia Islam sewajarnya menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan kembali imej dan juga perpaduan yang telah longgar dan rosak di kalangan umat dan Dunia Islam selama ini akibat daripada campurtangan dan tipu muslihat dunia barat.

Peluang ini seharusnya digunakan sebaiknya bagi memulihkan perpaduan, meningkatkan kerjasama dan kekuatan di kalangan negara Dunia Islam samada dari sudut ekonomi, politik dan ketenteraan. Sudah tiba masanya untuk Islam bangkit kembali dari kegelapan kerana sudah ada sinar yang muncul setelah lama berada dalam kegelapan.

Walaupun Islam dihina, dikeji dan dituduh pengganas, usahlah kita umat dan Dunia Islam bersikap seperti dunia barat yang berdendam sehingga tiada kesudahan. Walaupun masih terbuku rasa amarah, Islam mengajar umatnya mengambil pendekatan yang bijaksana dalam situasi sebegini.

Mungkin ada ketikanya perdamaian lebih menguntungkan umat dan Dunia Islam, mungkin ada ketikanya bertegas meningkatkan moral dan integriti umat dan Dunia Islam. Tiba masanya Islam dan umatnya bangkit kembali dari kegelapan kerana sinar dan cahaya telah terbentang di sepanjang jalan.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL Abdul HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -