MOSTI, KKM bekerjasama selesai sijil digital Covid-19

Foto daripada Facebook Dato' Ahmad Yakob.
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama untuk memastikan pembersihan data dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan sijil digital Covid-19.

Menteri MOSTI, Dato’ Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan pembersihan data dilakukan di mana data-data yang telah dibersihkan akan diberikan kepada saluran sistem yang telah ditetapkan untuk sijil digital dikeluarkan.

- Advertisement -

Malah katanya, pihaknya juga telah mengenal pasti tiga faktor menjadi punca penerima masih belum mempunyai sijil digital vaksin.

Menurut beliau, antaranya adalah berlaku di mana nombor siri vaksin tidak dikemaskini di akhir proses oleh mereka di stesen vaksinasi yang akhir apabila petugas menyuntik ratusan ribu setiap hari.

Beliau berkata demikian, kepada pemberita dalam satu sidang media selepas beliau selesai mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin Awam Sri Tunjung Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Malah katanya, ada juga yang masih tidak menerima sijil vaksinasi kerana apabila mereka mengisi pendaftaran di MySejahtera, terdapat kesilapan maklumat seperti ejaan nama yang berbeza atau nombor kad pengenalan yang tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara.

“Antara yang lain, ada data yang diterima daripada program vaksinasi di luar PICK, contohnya yang dikendalikan oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara, yang mana data-data tersebut tidak melalui saluran sistem PICK.

“Oleh itu, data-data tersebut perlu disahkan dan dikemaskini terlebih dahulu, menyebabkan sijil digital mereka tidak dapat dikeluarkan serta-merta,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -