Jemaah masjid sama rata, tiada ‘kluster kayangan’

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Dalam pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak ada golongan atasan atau digelar ‘kluster kayangan’, sebaliknya semua golongan dilayan sama rata dalam soal kehadiran jemaah ke masjid dalam tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, semua pihak sedia maklum mengenai prosedur operasi standard (SOP) masjid yang mengehadkan bilangan jemaah dalam satu-satu masa.

Malah katanya, SOP juga akan sentiasa diperbaharui mengikut kesesuaian.

- Advertisement -

Namun katanya, yang utama adalah kadar imuniti kelompok perlu dicapai selain mempertimbangkan kadar jangkitan Covid-19 untuk membenarkan lebih ramai orang hadir ke masjid.

“Selain daripada SOP, saya juga sudah menyatakan kepada pihak masjid bahawa biarlah ada budi bicara dan jangan hanya melayan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.

“Sebenarnya saya sendiri pun beratur apabila ke masjid di Putrajaya dan ada tempat yang perlu kita patuhi sepertimana orang ramai. Yang paling penting yang hendak pergi masjid perlu awal untuk mengambil tempat yang sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai video yang tular itu, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya akan mengenal pasti lokasi dan permasalahan sebenar yang berlaku dan sudah meminta serta memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Apa yang tular itu sedang kita kenal pasti apa permasalahan sebenar. Pihak kita pun telah meminta dan memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan JAKIM dan dalam masa sehari dua ni insya-Allah perkara ini isu ini akan kita diselesaikan.

“Cuma nasihat saya kepada semua para jemaah yang kita tahu bahawa sekarang ini SOP masih lagi terhad kepada jumlah yang minima, bagaimanapun kerajaan memandang serius perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai video yang tular di media sosial membabitkan golongan atasan yang memasuki masjid tanpa menunggu giliran sedangkan jemaah lain sedang beratur di pintu utama untuk masuk ke dalam masjid.

Dalam masa sama, video berkenaan turut mengundang kecaman daripada warganet sehingga ada yang mempersoalkan wujudnya perbezaan dua darjat di antara orang kenamaan dan rakyat biasa.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan dan juga wang tunai kepada 25 pengayuh beca dalam Program YADIM Peduli: Musaadah YADIM-Bank Islam di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini. Turut hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -