Bersatu, komponen PN teruskan usaha pulih negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bersatu dan parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan terus bersama kerajaan dalam usaha memulihkan negara sehingga pilihan raya akan datang.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehingga saat itu tiba, ahli parti mestilah melakukan segala persiapan dengan menumpukan kepada usaha memperkuat parti di peringkat akar umbi dan tidak bersengketa sesama sendiri.

“Elakkan perasaan dengki dan iri hati, kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

- Advertisement -

“Pada masa itu, Perikatan Nasional dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. Insya-Allah dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan menang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi parti itu malam tadi.

Bekas Perdana Menteri itu, yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, berkata kerjasama dengan parti komponen PN perlu diperkukuh di semua peringkat khususnya bahagian dan cawangan.

“Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti komponen Perikatan Nasional dan parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya serta membentuk kerajaan,” katanya.

Muhyiddin juga mahu Bersatu membuktikan budaya politik parti itu adalah berbeza dan nilai kepimpinannya adalah berteraskan prinsip integriti dan amanah, tidak berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Politik kita adalah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” katanya.

“Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangannya seperti termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -